Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Kehamilan di usia remaja bahayakan kesihatan, ancam nyawa

Selain membawa kepada perkahwinan bawah umur, kehamilan di usia remaja juga membahayakan kesihatan apabila wanita muda yang hamil terdedah kepada risiko kematian hingga lima kali ganda berbanding wanita dewasa, kata pakar.

Menurut pakar Obstetrik-Pakar Sakit Puan (O&G) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Harlina Halizah Siraj, ini kerana badan wanita pada usia remaja dilihat belum benar-benar bersedia untuk hamil.

Beliau memetik laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang menyatakan remaja berusia 15-19 tahun yang hamil mempunyai risiko dua kali ganda untuk mati ketika melahirkan anak berbanding wanita berusia 20 tahun ke atas.

Manakala remaja di bawah usia 15 tahun yang hamil pula mengalami risiko kematian lima kali ganda berbanding wanita berusia 20 tahun ke atas, katanya kepada Malaysiakini.

“Orang dulu-dulu bukan kahwin (bawah umur) bila perempuan itu sudah mengandung, tapi untuk rapatkan ukhuwah dua keluarga. Jadi keluarga sebenarnya yang menguruskan perkahwinan tu,” katanya.

Harlina Siraj

"Perkahwinan bawah umur beri kesan ketara kepada kesihatan seksual dan reproduktif remaja.

"Jadi (perkara ini) perlu dititikberatkan dalam merangka sebarang peraturan atau dasar berkaitan perkahwinan bawah umur," katanya lagi.

Kata Harlina lagi, soal itu - sama ada hamil di luar nikah atau kebimbangan terhadap kemungkinan ia berlaku - sering menjadi sebab kepada perkahwinan bawah umur, seperti yang dinyatakan hakim mahkamah syariah berkenaan kebanyakan permohonan yang diterima mereka.  

Pada 26 Ogos lalu, NGO Sisters In Islam (SIS) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menyelaraskan undang-undang syariah di seluruh negara, berkenaan perkahwinan bawah umur.

Pengurus Komunikasinya Majidah Hashim berkata sukar untuk menerima betapa perlahannya usaha kerajaan dalam menangani isu perkahwinan bawah umur hanya kerana hal ehwal syariah di bawah kuasa negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh pula berkata garis panduan lebih ketat berkenaan perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan Islam telah dibuat sejak Oktober lalu, dengan pekeliling diedarkan kepada ketua hakim Syariah setiap negeri.

Fuziah Salleh

Mengulas lanjut, Harlina berkata wanita remaja yang hamil memerlukan penjagaan rapi dan sokongan keluarga, tetapi pada kebanyakan masa ia tidak berlaku.

"Sebab itu bila hamil bawah umur ini kena kerap jumpa doktor, dapatkan penjagaan rapi.

“Malangnya kalau yang hamil tanpa pengetahuan ibu bapa, dia memang tak datang jumpa doktor,” katanya.


Baca'Anda tak keseorangan' - Iklan di pawagam untuk wanita hamil luar nikah


Bagaimanapun dari satu sisi, beliau berkata perkahwinan bawah umur dapat membantu wanita yang telah hamil itu mendapatkan pembelaan.

“Jadi dia (wanita yang telah hamil) tidaklah terbiar atau terdedah kepada terpaksa nak gugurkan, berikan, jual bayi dia atau buang bayi,” katanya lagi.

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 4,992 bayi dilahirkan oleh ibu bawah umur secara tidak sah taraf pada 2017, selain 120 kes buang bayi dilaporkan pada tahun yang sama.

Label anak tak sah taraf jadi isu

Aktivis kanak-kanak Sharmila Sekaran dari Voice of the Children (VoC) turut senada dengan SIS apabila menyatakan kerajaan boleh melakukan lebih lagi dalam isu ini, terutama dalam soal kajian dan pengumpulan data.

Sharmila Sekaran

Katanya, isu itu tidak wajar diletakkan di bahu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja tetapi perlu melibatkan beberapa kementerian berkaitan.

“Kita tak dengar lagi mengenai mesej yang kuat dan jelas bahawa sebarang perkahwinan bawah umur tidak boleh diterima dan kita memerlukan kenyataan yang jelas tentang itu terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.

Bulan lalu, Mujahid dilaporkan berkata penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah di seluruh negara dijangka akan dilaksanakan akhir tahun ini, dengan 40 peratus kemajuan telah dicapai untuk usaha itu.

Kata Sharmila lagi, kebanyakan masyarakat yang menyokong perkahwinan bawah umur melihat kepada aspek kehamilan luar nikah - sebagai tidak sah taraf - berbanding kebajikan pasangan dan bayi yang akan dilahirkan.

“Kita sering mendengar ‘apa jadi kalau budak (perempuan) tu mengandung? Dan apa akan jadi kepada bayi tersebut kerana bayi tu tak sah taraf’," katanya lagi.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, sejumlah 15,000 perkahwinan bawah umur berlaku antara 2007 hingga 2017.

Sejumlah 10,000 kes melibatkan pasangan Islam, manakala 4,999 kes melibatkan pasangan bukan Islam.

Lihat Komen
ADS