Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Satu surat Zuraida dah dibalas, dua lagi menyusul

Berbeza daripada kenyataan Zuraida Kamaruddin, hari ini Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat yang dikirimkan Naib Presiden parti berkenaan.

Untuk dua surat yang lain, kata Anwar, ia akan dibalas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

“Setiausaha agung akan jawab, tapi satu (saya) dah jawab,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, di bangunan Parlimen, hari ini.

Anwar berkata demikian mengulas pertanyaan mengenai status surat yang dihantar Zuraida bagi meminta Anwar mengadakan perbincangan dalaman membabitkan isu PKR.

Selain Anwar, pertemuan itu dirancang untuk dihadiri pemimpin tertentu dalam kalangan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Pada 28 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan, keengganan pihak Anwar membalas surat yang dikirim menjadi punca Zuraida tidak menghadiri mesyuarat MPP parti berkenaan.

Selain Zuraida beberapa pemimpin kanan PKR yang tidak hadir sebelum ini ialah timbalan presidennya sendiri, Azmin Ali, serta Menteri Besar Selangor merangkap pengerusi PKR negeri itu, Amirudin Shari.

“Permintaan itu untuk kita reconcile, buat masa ini belum dilayan. Dah tiga surat yang kami keluarkan kepada pejabat presiden.

“Surat pertama dia jawab dia ke Mekah, dan kami beri surat kedua nak minta pertemuan lagi dengan beliau," katanya. 

Mengulas lanjut, Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata Zuraida sepatutnya hadir dalam setiap mesyuarat yang diadakan parti itu dan ia boleh dijadikan tempat untuk membincangkan isu berbangkit.

“Kita ada forum, kita ada mesyuarat biro politik setiap minggu dan mesyuarat MPP setiap bulan. Sila hadir,” kata Anwar.

Untuk rekod pada majlis berasingan hari ini, Zuraida memaklumkan kepada media bahawa "tak ada langsung" jawapan balas diterima daripada pihak Anwar.

“Tunggu dia jumpa saya dulu. Tak ada langsung respons,” katanya. 

Sementara itu, mengulas kenyataan Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) bahawa hanya takdir menentukan Anwar akan jadi perdana menteri atau tidak, Anwar secara bersahaja menjawab: “Hidup, mati... semua bergantung pada takdir. Menteri, bukan menteri, jodoh, semua pada takdir. Jadi saya percaya pada takdir.” 

Lihat Komen
ADS