Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rangkaian pasar raya Mydin larang produk bebas minyak sawit

Rangkaian pasar raya terbesar di Malaysia, Mydin telah mengeluarkan semua produk yang dilabel sebagai bebas minyak sawit dari pasar rayanya, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin.

Katanya, tindakan itu sebagai sebahagian daripada kempen negara kedua pengeluar minyak sawit terbesar di dunia untuk melindungi imej komoditi itu di dalam dan di luar negara.

Dagangan minyak sawit dunia bernilai AS$60 bilion itu menjadi sasaran aktivis alam sekitar atas alasan kawasan hutan hujan tropika yang luas dikatakan telah dibersihkan untuk mengembangkan komoditi tersebut.

 Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd

Kesatuan Eropah pada tahun ini meluluskan satu akta untuk menyingkirkan minyak sawit sebagai bahan api yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2030 berdasarkan kebimbangan penebangan hutan.

Malaysia, bersama dengan negara jirannya, Indonesia menghasilkan kira-kira 85 peratus daripada minyak sawit di dunia, sedang mempertimbangkan undang-undang bagi mengharamkan semua produk yang memaparkan tidak menggunakan minyak tersebut.

Malaysia juga telah melancarkan perhubungan awam antarabangsa dan melobi untuk melindungi reputasi eksport utamanya.

Menurut Ameer Ali, pasar raya miliknya telah mengeluarkan semua produk anti minyak sawit semalam untuk menyampaikan kepentingan minyak sawit kepada ekonomi Malaysia.

- Reuters

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), dalam menyokong gesaan kerajaan untuk memerangi kempen antiminyak sawit, telah mengeluarkan produk dengan label ‘bebas minyak sawit” dari rak jualan rangkaian pasar rayanya di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Ameer Ali Mydeen berkata, pelabelan itu yang membawa maksud minyak sawit tidak baik, merupakan tindakan pemasaran tidak bertanggungjawab, dan sebagai pasar raya utama yang bertanggungjawab di Malaysia, Mydin tidak akan menyokongnya.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, apabila kerajaan membuat keputusan, kita perlu sokong keputusan itu, khususnya apabila ada pihak cuba melakukan sesuatu (yang negatif) kepada negara kita, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab untuk kita tidak menyokongnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran karnival “Sayangi Minyak Sawitku” anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dengan kerjasama Mydin di Subang Jaya hari ini. Karnival itu dilancarkan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Kok kemudian memberitahu pemberita bahawa langkah berani Mydin mengeluarkan produk dengan label “bebas minyak sawit” daripada rak jualannya wajar dipuji dan beliau berharap pasar raya dan peruncit yang lain turut mengikut langkah itu.

Katanya, kerajaan Indonesia turut mengharamkan produk makanan dengan label itu seperti diumumkan pada 21 Ogos tahun ini, dalam usahanya untuk melindungi komoditi itu daripada pemasaran negatif.

Kok berkata, kementeriannya telah memaklumkan berhubung kemungkinan mengambil langkah serupa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berikutan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, dan beliau percaya perkara itu sedang dikaji.

Lihat Komen
ADS