Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Kaji semula dasar ekonomi gagal tangani kemiskinan

Bimbang dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mengenai kadar kemiskinan negara baru-baru ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengkaji semula dasar-dasar ekonomi yang gagal terhadap negara.

"Untuk mengutarakan masalah ini, saya mendesak supaya kerajaan terutamanya EPU dan menteri ekonomi (Azmin Ali) untuk mengenal pasti salah satu bahana iaitu dasar-dasar gagal.

"Apabila anda didiagnos dengan salah, sedangkan anda mempunyai kecederaan yang parah di kaki kiri tapi anda memotong kaki sebelah kanan," katanya yang memberi contoh bahawa masalah sebenar harus dikenal pasti untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam Indian Chamber of Commerce di Nexus Connexion Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Anggota parlimen Port Dickson itu juga menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah wujud sekian lama tetapi masih tidak berupaya menyelesaikan masalah kemiskinan di negara ini.

"Yang kedua, polisi kita sendiri telah membuktikan salah.

"Sekurang-kurangnya, dasar polisi seperti DEB. Selepas 40 tahun, DEP tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan meskipun di kalangan kaum Melayu kerana ia seakan-akan tidak berubah seperti 1971," katanya.

Untuk rekod, DEB diperkenalkan pada 1970 dengan tujuan membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat.

"Kita perlu ke hadapan ke arah agenda ekonomi baru berdasarkan keperluan dan keperluan negara supaya negara terus membangun.

"Ini bermakna, kerajaan harus melakukan apa yang patut untuk mwmpwrkasakan ekonomi dan menarik pelaburan melalui Revolusi Industri 4.0 (IR4. 0) ekonomi digital bagi mengurangkan jurang tersebut," katanya lagi.

Untuk rekod, pelaksanaan DEB telah berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional yang masih mengekalkan elemen sama pada 1991.

Bulan lalu, satu laporan yang didedahkan oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

Anwar berkata dapatan pelapor khas PBB itu sepatutnya mengejutkan dan menjadi peringatan kepada pihak perniagaan yang berjaya tetapi tidak merasa prihatin terhadap masalah kemiskinan di negara ini.

"Apa yang dilakukan Ashton walaupun terdapat beberapa kelemahan melalui beberapa kenyataan yang bersifat terlalu umum (generalized statements) itu (tetapi ia) tidak mengejutkan saya.

"Ia (sepatutnya) mengejutkan kepada mereka yang jelas terputus (dengan masalah ini).

"Ini merupakan peringatan yang jelas kepada mereka yang berjaya dalam dunia perniagaan untuk memastikan kamu terus berempati (berupaya merasakan kesusahan orang lain) dan menghubungkan diri dengan masalah masyarakat dan rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya lagi ketika berucap.

Lihat Komen
ADS