BERITA

Lagi serbuan pada majlis Asyura

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Sep 2019, 4:13 pagi

Pihak berkuasa agama terus menyerbu pengikut Syiah, dengan lebih ramai asing ditangkap malam semalam dalam beberapa siri serbuan terhadap majlis persendirian yang diadakan di Johor dan Selangor.

Tidak kurang 20 pegawai dan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Johor (JAINJ) dilaporkan hadir pada sebuah majlis tersebut di Kempas sebelum jam 11 malam, sambil diiringi pihak polis.

Majlis yang diadakan itu adalah sempena sambutan Asyura, iaitu mengingati ulang tahun kematian Husayn ibn Ali, cucu kepada Nabi Muhammad SAW dan tokoh utama dalam Syiah.

"Pihak polis dan JAINJ datang dengan lori Black Maria dan sekurang-kurangnya enam kereta peronda," kata seorang saksi yang dipetik oleh Free Malaysia Today.

Lapan orang dilaporkan ditangkap, termasuk seorang rakyat Yemen dan dua rakyat Singapura. Mereka masih belum dibebaskan.

Mereka yang ditangkap itu dikatakan sedang disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, iaitu melanggar titah sultan, dan arahan mufti serta fatwa. Peruntukan itu membawa hukuman maksimum denda RM3,000 dan penjara setahun.

Aliran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, majoriti penganut Islam adalah mengikuti fahaman Sunnah dan aliran Syiah dianggap menyimpang terutama mengenai rujukan serta beberapa tokoh awal sejarah Islam.

Sementara itu, majlis Asyura di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, malam semalam yang dihadiri oleh umat Islam Pakistan diserbu oleh pihak berkuasa Islam Selangor.

Dalam serbuan itu, beberapa individu ditangkap.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa lazimnya menghidu upacara keagamaan mereka melalui laporan oleh jiran atau warga Pakistan yang beraliran Sunni.

Pada 6 September lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah pusat Syiah di Gombak dan menahan 23 orang.

Jemaah ketika itu sedang berkumpul di sebuah rumah kedai untuk memperingati Pertempuran Karbala menjelang hari Asyura.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan