Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti P Pinang saran pendidikan atasi fobia Syiah

WAWANCARA | Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Mohd Noor mengambil pendirian lunak terhadap penganut Syiah walaupun beberapa negeri memfatwakan golongan tersebut sebagai ancaman terhadap umat Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Wan Salim berkata pendidikan merupakan kunci penyelesaian terhadap isu berkenaan dan menggesa sikap bertolak ansur terhadap Syiah, mahupun kelompok agama lain yang berbeza daripada Islam.

"Merujuk secara khusus kepada golongan Syiah - yang dianggap sebahagian agamawan di Malaysia sebagai ancaman kepada majoriti penganut Islam beraliran Sunni - rasanya pendekatan menerusi pendidikan adalah yang paling baik dan berkesan untuk mengatasi Syiah fobia ini," katanya.

Suatu hasil selidik mengenai fahaman ekstrem menunjukkan 66 peratus responden rakyat Malaysia beragama Islam mahu mazhab selain Ahli Sunnah Wal Jamaah diharamkan di Malaysia.

Hasil penyelidikan itu terbit pada 2018 dan dikendalikan oleh Dataluminescence Research, Merdeka Center dan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) UKM.

Bagaimanapun, Wan Salim menyarankan Kementerian Pendidikan memasukkan fakta kefahaman mengenai ajaran Syiah di dalam sukatan pelajaran pengajian Islam.

"Amat baik jika pihak kementerian memasukkan ke dalam kurikulum subjek Pengajian Agama Islam mengenai fahaman Syiah yang meliputi aspek latar sejarah kemunculannya dan prinsip-prinsip kepercayaan dan amalannya yang utama.

"Pendekatan yang digunakan hendaklah bersifat informatif bukan indoktrinatif dengan penekanan kepada keperluan bertoleransi terhadap perbezaan antara pelbagai aliran atau mazhab Islam.

"Untuk tujuan ini para guru yang terbabit hendaklah diberi kursus yang khas supaya dapat menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada murid atau pelajar," katanya lagi.

Menurut Wan Salim, isu penganut Syiah di Malaysia perlu ditangani secara profesional dan keganasan bukanlah penyelesaiannya.

"Lagi satu, penganut Syiah atau mana-mana agama lain harap jangan diselesaikan dengan keganasan tapi dengan penuh professional," jelasnya.

Mufti Pulau Pinang mengulas penangkapan penganut Syiah, termasuk warga negara asing di Johor dan Selangor.

Beliau juga berkata adalah lebih baik bagi pengikut Syiah untuk menjalankan majlis mereka secara persendirian dan tertutup supaya tidak menarik perhatian pihak yang kurang pengetahuan dan pemahaman terhadap sistem kepercayaan mereka.

Ditahan jabatan agama

Pada 9 September lalu, tidak kurang 20 pegawai dan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Johor (JAINJ) bersama pasukan polis menyerbu majlis penganut Syiah di Kempas.

Majlis tersebut bersempena sambutan hari Asyura, iaitu mengingati ulang tahun kematian Hussein Ali, iaitu cucu kepada Nabi Muhammad SAW.

Lapan orang dilaporkan ditangkap, termasuk seorang rakyat Yaman dan dua rakyat Singapura. 

Mereka dipercayai disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, iaitu melanggar titah sultan, dan arahan mufti serta fatwa.

Peruntukan itu membawa hukuman maksimum denda RM3,000 dan penjara setahun.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 7 September pula menahan lebih 20 individu termasuk wanita dan kanak-kanak yang disyaki pengikut Syiah dalam serbuan di Gombak malam tadi.

Individu-individu berkenaan dikatakan berkumpul di sebuah rumah kedai bagi memperingati Pertempuran Karbala menjelang Hari Ashura yang jatuh pada 9 September.

Menjelaskan lanjut isu ini, Wan Salim (gambar) berkata pada era globalisasi masyarakat antarabangsa mengambil pendekatan yang lebih terbuka dan bertoleransi terhadap kemajmukan pandangan dan kepercayaan.

"Dalam era globalisasi masyarakat antarabangsa perlu lebih bertoleransi dan bersikap lebih terbuka terhadap kepelbagaian aliran pemikiran dan pegangan agama.

"Pada masa kini kita dapati semakin banyak negara di dunia ini yang dihuni oleh penduduk yang terdiri daripada pelbagai etnik yang menganut agama dan budaya yang berbeza.

"Fenomena baru ini perlu diurus dengan bijaksana oleh para pemimpin negara-negara berkenaan supaya hubungan yang baik dan harmoni antara kesemua kaum dapat dikekalkan tanpa digugat oleh ketegangan yang mungkin akan menjurus kepada keadaan yang merugikan semua pihak," jelas mufti itu lagi.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Disember 2013 memaklumkan semua ajaran mahupun fahaman Syiah di Malaysia adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Fatwa Syiah bercanggah syarak

Penegasan Jakim itu merujuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2 dan 3 Mei 1996 yang bersetuju memperakukan ajaran Islam yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.

Bagaimanapun, Deklarasi Amman yang diisytihar Raja Jordan Raja Abdullah II Al Hussein dan disepakati oleh 552 pemimpin negara Islam, ulama serta cendekiawan pada November 2004 mengesahkan kesahihan semua lapan mazhab dalam Sunni, Syiah dan Ibadi Islam; teologi Islam (Ash'ari); tasauf Islam (sufi), dan aliran Salafi tulin, serta merumuskan takrif tepat mengenai siapa itu Muslim.

Berdasarkan takrif tersebut, mereka melarang sebarang tindakan mengkafirkan sesama kaum Muslim.

Deklarasi berkenaan diperakui oleh lapan wakil kepimpinan kerajaan dan ilmwuan Malaysia, termasuk bekas perdana menteri Abdullah Badawi yang hadir pada persidangan tersebut.

Untuk rekod, sejak 1973, telah sebelas kali penganut Syiah dari Iran dan Iraq dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Malaysia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS