Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

LAPORAN KHAS | Selepas Abdur Razzak lulus peperiksaan Sekolah Menengah Tinggi (HSC) pada tahun 2018, masa hadapannya telah termaktub.

Berdepan krisis kewangan, bapanya mengambil pinjaman berfaedah tinggi dan menggadai tanah untuk mengumpulkan sekitar 400,000 Bangladeshi Taka (kira-kira RM20,000).

Wang tersebut adalah untuk membiayai perjalanan Razzak ke Malaysia. Beliau berangkat dengan beribu-ribu buruh lain yang direkrut bawah perjanjian tambahan antara negara (G2G +) yang termeterai antara Dhaka dan Putrajaya.

Melalui agensi sumber manusia Rabbi International, Razzak mendapat kerja di Sindali Minerals Sdn Bhd, dan bertolak ke Malaysia pada Oktober lepas.

Ibu bapanya mengharapkan beliau pergi ke Malaysia, memperoleh wang sebanyak mungkin, dan membawa pulang duit tersebut. Dengan itu, pinjaman mereka akan dibayar dan paling penting, mereka cukup makan.

Namun, empat bulan kemudian, Razzak pulang dalam keadaan tidak bernyawa.

 Ahli keluarganya tidak dapat menerima kematian Razzak yang masih muda. Ibunya, yang tidak mahu dinamakan, sedih setiap kali nama anaknya disebut.

“Kali terakhir saya hubunginya, dia memberitahu saya supaya jangan risau. Dia akan membayar balik semua pinjaman dan meminta saya doakannya! Dan beliau meninggal pada keesokan harinya.

“Anak saya tidak mampu menanggung bebanan pinjaman tersebut dan sekarang dia mati!”

Sejurus pemergian Razzak, bapanya pula jatuh sakit. Namun dia masih mengunjungi perkuburan anaknya.

“Dia pergi ke Malaysia supaya dapat meringankan beban kami. Dia juga lulus pemeriksaan kesihatan untuk pergi ke sana.

“Dan sekarang anak lelaki kami sudah mati kerana strok! Anak saya tidak dapat tanggung beban hutang yang dia ambil dan sekarang dia meninggal dunia.”

Beban hutang

Menurut dokumen yang ditandatangani oleh pegawai Kedutaan Bangladesh, Razzak meninggal akibat kekurangan oksigen dan keradangan otak pada 27 Januari.

Beliau adalah salah seorang daripada 96 warga Bangladesh yang maut pada bulan itu. Dari jumlah itu, 51 daripada mereka mati akibat strok.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Kebajikan Pegawai Kerajaan Bangladesh, Md Tanvir, sebanyak 393 pekerja maut di Malaysia dari bulan Januari ke Jun tahun ini.

Sejak 2005, sebanyak 4,321 warga Bangladesh maut di Malaysia dan angka tersebut makin meningkat setiap tahun.

Pada 2012, sebanyak 340 pekerja maut. Sejak tahun lepas, seramai 736 pekerja pekerja Bangladesh maut. Ini bermaksud secara purata dua pekerja Bangladesh maut di Malaysia setiap hari. Kebanyakkannya mereka yang berumur 18 hingga 32 tahun.

Ramai daripada mereka ditimpa nasib yang sama. Mereka semua mengambil pinjaman berfaedah tinggi di kampung halaman.

Mirazul Islam, asal dari Shibganj- bersempadan dengan India ke Utara- berlepas ke Malaysia menaiki penerbangan sama dengan Abdur Razzak.

Mirazul menyesal datang ke Malaysia.

“Saya tidak sepatutnya membelanja wang yang banyak untuk datang ke sini. Sekarang saya sibuk memikirkan bagaimana saya perlu bayar balik semua pinjaman ini.”

Kerisauan tersebut juga menimpa Razzak sebelum dia mati, kata Mirazul.

“Dia selalu mengatakan, ‘Bagaimana saya hendak bayar semua hutang ini?’

“Pada hari itu dia rasa tidak sihat untuk bekerja kerana sakit kepala. Dia mula berpeluh dan apabila penyelianya lihat Razzak tidak sihat, dia menyuruhnya pulang,” kata Mirazul, mengingati perbualannya yang terakhir dengan Razzak.

“Dan tidak lama kemudian, rakan saya tiada lagi.”

Diberikan pada firma lain

Razzak juga mangsa pengurusan buruh yang lemah, seperti dibuktikan oleh surat dari Kedutaan Bangladesh dan siasatan Kaler Kantho.

Menurut perjanjian G2G+, Razzak ditugaskan untuk bekerja di Sindali Minerals.

Namun apabila beliau maut, dokumen dari Kedutaan Bangladesh menunjukkan beliau bekerja di kedai perabot Fu Yin.

Dokumen Kedutaan Bangladesh menunjukkan dia pekerja yang sah. Bagaimanapun, sistem perundangan di Malaysia menyatakan pekerja asing hanya boleh bekerja di syarikat yang tertera dalam dokumen visa.

 Sementara itu, menurut slip gaji Razzak, gaji beliau bukan dibayar oleh Fu Yin atau Sindali tetapi dibayar oleh pihak ketiga.

Slip gajinya juga menunjukkan potongan gaji dibuat secara rawak. Ini serupa dengan slip gaji pekerja asing lain yang diperiksa Kaler Kantho.

Nur Hossain dari Lakshmipur mempunyai kisah yang sama dengan Razzak. Beliau datang ke Malaysia dengan kos 350,000 Taka (lebih kurang RM17,570) melalui G2G+ pada Ogos 2017.

Beliau datang melalui agensi Al Islam Overseas dan ditempatkan di ladang milik Felda Global Vetures.

Nur Hossain meninggal dunia akibat sakit jantung pada 7 September 2018. Beliau berumur 35 tahun. Jenazahnya dipulangkan ke Bangladesh pada 21 Mac.

Isterinya, Rehana Begum mengatakan Nur Hossain juga seperti Razzak kerana dia sangat risaukan hutang yang perlu dibayar.

“Jarang sekali dia sakit apabila pulang ke rumah. Bagaimana keadaan anak-anak kami selepas pemergian ayahnya?” tanya Rehana.

Ramai pemuda mati akibat serangan jantung?

Gazi Mohammad Xulhaz, pengarah lembaga kebajikan pekerja di Kementerian Kebajikan Ekspatriat Bangladesh, berkata fenomena ini bukan sahaja mengejutkan kerana jumlah kematian yang tinggi, tetapi punca kematian mereka.

“Umur seperti itu tidak patut mati akibat serangan jantung atau strok - dua penyakit yang dikatakan punca utama kematian ekspatriat Bangladesh.

“Inilah sebabnya kami berusaha untuk membantu orang-orang ini menjadi lebih sedar tentang undang-undang negara yang mereka berhijrah.”

Dipercayai bahawa kos imigresen yang tinggi, ditambah dengan eksploitasi di pasaran pekerja Malaysia, menjadi punca ramai pekerja maut pada usia muda.

Sama ada serangan jantung dan strok, punca sebenar kematian masih menjadi tanda tanya, kata pengerusi Unit Penyelidikan Pergerakan Pelarian dan Migrasi, Tasneem Siddiqui.

Siddiqui menambah, dalam sesetengah kes, ahli keluarga mereka mengesyaki penyeksaan fizikal terhadap pekerja. Bagaimanapun dakwaan ini tidak dapat dibuktikan kerana bedah siasat kedua tidak dilakukan ketika jenazah tiba di Bangladesh.

“Bedah siasat sepatutnya patut dilakukan ke atas jenazah tersebut sebelum dipulangkan. Laporan (dari bedah siasat) di sini mesti dipadankan dengan laporan dari Malaysia.

“Hanya dengan cara ini kita akan tahu punca kematian mereka,” kata beliau.



Bahagian 1: Terbongkar - pekerja Bangladesh diperdagang antara syarikat

Bahagian 2: RM4,000 sekepala, pekerja Bangladesh mangsa lumayan bagi ejen

Lihat Komen
ADS