Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan biarkan Cina kuasai Sarawak'
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 10:55 AM
Dikemaskini: Sep 22, 2019 1:54 AM

PAS mengajak penduduk Melayu dan Iban di Sarawak agar bekerjasama menghalang Cina DAP daripada "menguasai" negeri berkenaan.

Berucap di Rumah Panjang Gima di Bintulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Sarawak wajar dikuasai oleh bumiputera negeri terbabit.

“Sebab itu kita (PAS) harap supaya rakyat selama ini utamakan, biar bumiputera yang menguasai Sarawak ini.

"Biar Melayu yang menguasai Sarawak ini... kita tidak (mahu) halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini," katanya seperti dipetik lidah rasmi parti itu, harakahdaily, semalam.

Abdul Hadi yang baru-baru ini menandatangani piagam Muafakat Nasional bersama Umno di Kuala Lumpur memberitahu, DAP mahukan orang Cina menguasai Sarawak.

"Kita kena halang, sebab itu Melayu, Iban, dengan semua penduduk asal ini perlu bersatu, pertahankan kuasa bumiputera di Sarawak ini.

“Ini (yang) PAS minta - supaya kita semua bersatu jangan sokong DAP, jangan sokong parti-parti yang bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Untuk rekod PAS sudah bertapak agak lama di Sarawak dan menyertai pilihan raya umum (PRU) dan negeri sebelum ini. Pada PRU lalu PAS meletakkan calon di kerusi parlimen Petra Jaya, Sibuti, Kota Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.

Bagaimanapun semua calon terbabit gagal mendapat undi yang signifikan daripada penduduk negeri terbabit.


Baca Isytihar harta idea komunis, kata Hadi


Untuk rekod semua parti berpangkalan di Sarawak meninggalkan BN selepas PH berjaya menguasai Putrajaya pada Mei 2018. Mereka kemudian membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mengambil sikap berbaik-baik dengan kerajaan pusat.

Abdul Hadi juga mendakwa DAP kelihatan seperti menekan kerajaan apabila cuba mengekalkan susun atur dengan "meletakkan kaum Cina di bandar" untuk menguasai ekonomi di Malaysia.

Tambahnya, hal itu akan menyebabkan kaum lain terpinggir dalam sektor ekonomi dan teknologi canggih hari ini.

"Pilihan raya umum lalu, BN jatuh, tapi yang menguasai Malaysia hari ini Pakatan Harapan (PH). DAP yang memimpin paling besar, malangnya DAP mahu mengumpul kekayaan untuk orang Cina sahaja, bukan untuk semua," katanya.

Lihat Komen
ADS