Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 11: Tarikh disasarkan untuk terbitan bon TIA 'sangat agresif' - saksi

LANGSUNG | Pihak pendakwaan dijangka menamatkan soalan mereka terhadap saksi kelapan, Amhari Efendi Nazaruddin, pada hari ini.

Sebelum perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan pada Khamis minggu lalu, ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, memberitahu mahkamah mereka mempunyai beberapa soalan lagi untuk ditanyakan kepada bekas pegawai khas Najib Razak itu.

Amhari mula memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu pada 3 Sept lalu. Beliau disoal dalam kes membabitkan bekas perdana menteri berkaitan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Pasukan pembelaan Najib diketuai peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah.

LANGSUNG

4.34 petang: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar bantahan pembelaan terhadap kenyataan saksi bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi - atas dasar khabar angin - esok.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu ketika ketua DPP Gopal Sri Ram meminta penangguhan awal perbicaraan hari ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan hujah terhadap dakwaan khabar angin itu.

Terdahulu, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah beberapa kali membantah bahagian tertentu dalam kenyataan saksi Shahrol berkaitan Jho Low.

Shafee mendakwa keterangan Shahrol tentang perkara itu bersamaan dengan khabar angin kerana pihak pendakwaan patut memanggil Low untuk hadir ke mahkamah dan memberi keterangan berkenaan kenyataan saksi Shahrol.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan akan bersambung pada pukul 9.30 pagi esok.


4.15 petang: Bekas CEO Terengganu Investment Authority (TIA) dan 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata surat daripada TIA kepada Kementerian Kewangan bertarikh 26 April 2019 menyatakan tarikh yang disasarkan untuk penerbitan bon syarikat, yang dijadualkan pada akhir bulan berikutnya (Mei 2009).

Kata Shahrol, setakat pengetahuannya tarikh yang diminta itu "sangat agresif" dan telah memberi masalah kepada Kementerian Kewangan kerana notis yang singkat.

Dia berkata Jho Low memberitahunya ketika itu bahawa tarikh akhir itu ditetapkan untuk menjamin pelaburan syarikat Abu Dhabi, Mubadala, dapat dibuat.

"Jho Low juga mencadangkan agar saya mendesak Kementerian Kewangan, dan dia akan mendesak (perkara itu) dari atas ke bawah melalui menteri ketika itu (Najib)," katanya lagi.

Peguam Shafee Abdullah bagaimanapun membantah kenyataan itu atas dasar ia adalah khabar angin.


3.40 petang: Jho Low menunjukkan bahawa dia memang biasa dengan pengawal keselamatan di kediaman rasmi Najib ketika berkunjung ke situ pada April 2009, kata saksi.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata hal itu dapat disaksikan apabila memesan minuman Milo ais daripada kakitangan di kediaman rasmi timbalan perdana menteri itu.

Untuk rekod Najib menjadi perdana menteri pada awal April 2009 tetapi ketika itu beliau belum sempat berpindah ke rumah rasmi perdana menteri.

Kata Shahrol, beliau ke rumah rasmi tersebut apabila dibawa Jho Low.

"Mereka (Jho Low dan Najib) sangat rapat.

"Salah satu pemerhatian (saya) ialah apabila Jho Low membawa saya ke kediaman rasmi tertuduh.

"Jadi Jho Low bawa saya terus kepada pengawal dan melambai tangan kepada mereka.

"Dia (Jho Low) menampakkan bagaimana dia biasa dengan pintu masuk dan kawasan menunggu (di kediaman rasmi tersebut).

"Kakitangan di situ kelihatan biasa degan dia (Jho Low). Dia memesan Milo ais dan kami berjumpa Najib," katanya yang memberitahu, pertemuan tersebut berlangsung untuk memperkenalkan CEO syarikat Mubadala kepada Najib.


3.38 petang: Hakim Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan meninggalkan keterangan Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkaitan kenyataannya mengenai Jho Low yang dikatakan rapat dengan Najib Razak.

Perintah itu dibuat selepas pihak pembelaan - diketuai Muhammad Shafee Abdullah - berhujah, keterangan tersebut bersifat khabar angin.

Permohonan itu dibuat Shafee berhubung perenggan ke-48 keterangan Shahrol dalam kenyataan saksinya.

Sebelum itu Shahrol memberitahu mahkamah Jho Low didakwa menulis sepucuk surat - bertarikh 26 April 2009 - dari Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada Najib. Tindakan itu dianggap menunjukkan hubungan tertuduh dengan Jho Low adalah rapat.

Kata Shafee, disebabkan Jho Low tiada di mahkamah, tidak wajar untuk Shahrol meberi keterangan sebegitu.

Ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, kemudian berkata beliau akan menyusun semula soalan untuk saksi kesembilan itu.


2.45 petang: Jho Low didakwa bertindak sebagai wakil kerajaan Terengganu dan Putrajaya dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata Jho Low boleh mempengaruhi keputusan peringkat eksekutif dalam TIA walaupun dia tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam badan itu.

"Saya nampak sejak mula Jho Low memainkan peranan sebagai penasihat dalam melindungi kepentingan Terengganu dan kerajaan pusat, terutama dari perspektif pelaburan dan pengumpulan dana.

"Dia tak ada sebarang kuasa pengurusan rasmi dalam TIA tapi boleh mempengaruhi keputusan peringkat eksekutif kerana dia mewakili kedua-dua pihak, iaitu Tuanku Mizan (Sultan Terengganu) and Datuk Seri Najib Razak," katanya.


2.35 petang: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, Jho Low memiliki akses secara langsung kepada Najib Razak seawal 2009.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata ahli perniagaan yang diburu polis pelbagai negara itu boleh menghubungi tertuduh - ketika itu bertugas sebagai timbalan perdana menteri - melalui telefon untuk mendapatkan nasihat dan panduan.

Hal itu, katanya, diketahui berdasarkan pemerhatiannya semasa mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum entiti itu ditukar menjadi 1MDB.

Shahrol juga memberitahu, Jho Low memiliki akses kepada kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dan Sri Satria di Putrajaya.


2.20 petang: Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau mula menjadi CEO Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 2009 melalui cadangan Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

TIA adalah badan asal yang kemudian ditukar menjadi 1MDB dan didaftarkan pada 27 Feb 2009.

Shahrol, 49, memberitahu mahkamah beliau mengenali Jho Low sejak 2007 semasa bekerja sebagai pengarah urusan syarikat perunding dikenali sebagai Andersen Consulting (kemudian dikenali sebagai Accenture).

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata ketika itu sebuah syarikat, UBG, menjadi pelanggan Accenture. Jho Low ialah pengarah urusan UBG.

Katanya perkenalan mereka berlanjutan sehingga selepas UBG tidak lagi menjadi pelanggan Accenture kerana sebagai pegawai kanan syarikat itu, kata Shahrol, beliau perlu menjaga hubungan baik berkenaan sebagai langkah membuka potensi kepada peluang niaga pada masa depan.

Menurut Shahrol beliau dihubungi Jho Low pada pertengahan 2009 untuk bertanya sama ada berminat menyertai TIA yang ditubuhkan untuk membangunkan ekonomi Terengganu.

"Saya beritahu dia saya berminat untuk menukar kerjaya dan memaklumkannya saya sebelum itu pernah menghantar CV (curriculum vitae) kepada Tan Sri Azlan Zainol yang juga pelanggan saya sejak 2006.

"Ini kerana saya sudah bekerja di Accenture selama lebih 13 tahun dan mahu mengembangkan kerjaya.

"Dia kemudian memberitahu saya agar bersedia, dan dia akan menghubungi saya apabila tiba masanya nanti," kata Shahrol.

Menurutnya lagi Jho Low menghubungi pada 21 Mac 2009 dan meminta beliau pergi ke Istana Terengganu di Kuala Lumpur pada petang hari berkenaan.

Di premis terletak di Jalan Kia Peng itu, kata Shahrol, beliau berjumpa Azlan Zainol sebelum Jho Low tiba kemudian.

Kata saksi tersebut, hanya ketika itu beliau tahu Jho Low mencadangkan namanya kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin - ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong - untuk dilantik sebagai pengarah serta CEO kepada TIA.

Selepas bertemu Tuanku Mizan, kata Sharol, beliau dimaklumkan Sultan Terengganu itu berkenan melantiknya menjadi CEO.

Kata Shahrol beliau dilantik melalui resolusi pengarah TIA pada 23 Mac 2009.


2.14 petang: Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengangkat sumpah memberi keterangan dan kemudian mula membaca kenyataan saksi yang setebal 270 halaman.


2.10 petang: Perbicaraan sesi petang bermula. 

Saksi kesembilan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, mengambil tempat untuk memberikan keterangannya.

Shahrol ialah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB.


12.14 tengah hari: Akhirnya bekas pegawai khas Najib selesai memberi keterangan selepas Gopal melengkapkan soalannya ke atas saksi kelapan itu.

Hakim kemudian membenarkan mahkamah berehat seketika untuk membolehkan pihak pendakwaan menyediakan saksi kesembilan untuk memberi keterangan pula.

Mahkamah akan bersidang semula pada jam 2 petang ini.


11.47 pagi: Mahkamah mengarahkan Amhari Efendi Nazaruddin menyorot sebahagian daripada dokumen yang menjadi eksibit mengenai projek yang didakwa dibuat untuk menyelamatkan 1MDB.

Terdahulu Gopal memohon kepada mahkamah agar prosiding itu dijalankan tanpa kehadiran orang awam dan media untuk seketika kerana kandungan yang dirujuknya mungkin sensitif.

Gopal Sri Ram

Bagaimanapun ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, menyarankan sebaliknya. Kata peguam kanan itu, sebelum ini media sudah melaporkan dakwaan dibuat saksi tersebut mengenai projek yang dirujuk Gopal.

Antara projek itu ialah Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan orang awam terus berada dalam mahkamah, dan mengarahkan Amhari menggunakan penanda berwarna untuk menandakan bahagian dakwaan dalam eksibit itu tanpa perlu memperdengarkannya kepada umum.


11.40 pagi: Najib tidak pernah mengarahkan pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin, membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang isu berkaitan 1MDB.

Gopal: Di antara 2015 dan 2018, pernahkan kamu menerima sebarang arahan daripada tertuduh (Najib) untuk membuat laporan polis mengenai 1MDB?

Amhari: Tidak.

Gopal: (Membuat) laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)?

Amhari: Tidak.


11.22 pagi: Bekas pegawai khas Najib Razak mengambil tempat di kandang saksi.

Amhari Efendi Nazaruddin ialah saksi kelapan pendakwaan dan beliau dijadual akan disoal oleh pasukan pembelaan.

Sejurus kemudian Najib memasuki kandang orang kena tuduh.


11.15 pagi: Giliran pasukan peguam bela Najib pula masuk ke mahkamah.


11 pagi: Ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, dan anggota lain dalam pasukan itu memasuki mahkamah.

Difahamkan urusan mereka untuk kes jenayah yang dikendalikan di mahkamah berlainan sebelum ini sudah selesai.


9.33 pagi: Najib memasuki ruang mahkamah.


9.10 pagi: Perbicaraan akan bermula seawal jam 9.30 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihaknmya perlu mengendalikan dua urusan jenayah lain di mahkamah tinggi pada pagi ini.

Satu daripadanya ialah sebutan kes rasuah dan pecah amanah membabitkan bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad, membabitkan dana sebanyak RM3.09 juta.

Satu lagi ialah pendengaran permohonan anak tiri Najib, Riza Aziz, untuk memindahkan kes tuduhan pengubahan wang haram sebanyak AS$248 juta dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS