Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Najib yakinkan pengerusi 1MDB tentang usaha sama PSI guna telefon Jho Low'
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 2:14 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

KES 1MDB NAJIB l Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak didakwa menghubungi Mohd Bakke Salleh menggunakan telefon bimbit tokoh perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho selepas pengerusi 1MDB itu menimbulkan keraguannya tentang perjanjian usahasama dengan PetroSaudi International (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa perbicaraan 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

‘Usahasama’ dengan PSI itu akhirnya menyaksikan sekurang-kurangnya AS$1.83 bilion dana daripada 1MDB diselewengkan.

Shahrol memberitahu bahawa kejadian berlaku pada 26 Sept 2009, sebelum lembaga pengarah 1MDB mengadakan mesyuarat untuk memutuskan tentang usahasama dengan PSI itu.

Katanya, sebelum mesyuarat bermula, beliau melihat Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, sedang bercakap di telefonnya dan kemudiannya memberikan telefon itu ke Bakke, yang dijadual akan mempengerusikan mesyuarat lembaga.

“Bakke menutup sebahagian telefon Jho Low dengan tangan sambil berkata kepada kami semua perkataan PM bermaksud perdana menteri.

“Saya faham ini bermaksud Najib ingin bercakap dengan beliau. Saya nampak Bakke bangun dan terus menjawab telefon di dalam bilik mesyuarat tersebut,” katanya.

Shahrol mendakwa bahawa selepas panggilan itu, Bakke memaklumkan kepada lembaga bahawa usahasama dengan PSI adalah berada di aras tertinggi kedua-dua negara iaitu kerajaan dengan kerajaan, dan Najib mahu ia dipercepat.

 

Shahrol berkata sebelum panggilan itu, beliau memberitahu Low bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk meyakinkan lembaga pengarah memandangkan Bakke dan seorang lagi ahli lembaga lain, Azlan Mohd Zainol, menimbulkan keraguan mengenai struktur usahasama itu pada mesyuarat awal pada 18 Sept 2009.

“Dalam pengetahuan saya, panggilan telefon ini dibuat oleh PM kepada pengerusi BOD 1MDB iaitu Tan Sri Bakke kerana selepas pembentangan Kertas Projek berkaitan JV dengan PSI ini oleh Casey Tang pada 18 September 2009.Tan Sri Bakke dan Tan Sri Azlan nampak seperti tidak yakin dengan pelaburan ini.

“Mereka tidak yakin sama ada pelaburan yang akan dilakukan ini adalah benar-benar dengan syarikat milik kerajaan Arab Saudi atau tidak. Mereka juga mempersoalkan mengenai pecahan JV iaitu 60-40 yang mana 60 peratus daripada JV itu adalah dari aset-aset minyak PSI. BOD mahu memahami lebih mendalam mengenai aset-aset tersebut dengan cara independent valuation atau site visit.

“Malah Tan Sri Bakke mahukan wakil dari PSI datang untuk membentangkan sendiri JV ini kepada BOD,” katanya.

Shahrol berkata susulan panggilan Najib pada 26 September, lembaga itu bersetuju dengan usahasama tersebut dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB kemudiannya melaksanakannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS