Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis akan bawa Jho Low pulang hujung tahun ini, kata IGP
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 5:20 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yakin polis mampu membawa pulang ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low ke negara ini, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Beliau berkata, sumber risikan polis mendapati Jho Low menerima perlindungan daripada pihak tertentu dan bebas bergerak selain boleh menjalankan perniagaan tanpa sebarang sekatan.

"Dia bebas bergerak dan berniaga di negara tersebut. Jho Low manusia yang paling dikehendaki licik dan mempunyai agenda jahat serta menggunakan wang untuk beli pengaruh.

"Kami tahu di mana dia, kami sedang berunding dengan negara itu, namun saya yakin akan dapat membawa balik Jho Low tidak lama lagi," katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.

Bagamanapun, Abdul Hamid enggan mendedahkan nama negara yang dimaksudkannya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda inisiatif Sinar Harian dan Sin Chiew Daily di Dewan Karangkraf, di Shah Alam, hari ini.

Ketua polis negara itu juga dipetik sebagai berkata, pihak yang melindungi Jho Low diingatkan bahawa individu itu dikehendaki bukan disebabkan kaitan politik sebaliknya membabitkan kesalahan jenayah komersial yang dianggap terbesar.

“Ini berkaitan jenayah tetapi mengapa pihak di sana tidak mahu berikan kerjasama. Polis sudah meningkatkan usaha supaya mereka akur,” katanya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini diberitahu bahawa Jho Low merupakan perancang (orchestrator) bagi pihak Najib Razak untuk melaksanakan semua rancangan mereka di 1MDB.

Bekas perdana menteri berusia, 66, tahun itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Lihat Komen
ADS