Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Diplomat Malaysia kritik layanan China pada Muslim Uyghur
Diterbitkan:  Sep 26, 2019 8:57 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

New York Times (NYT) mendakwa seorang diplomat Malaysia mengkritik layanan China terhadap masyarakat Uyghur di "kem pendidikan semula" di negara itu.

Akhbar berkenaan mendakwa pihaknya telah melihat sendiri laporan diplomat berkenaan tanpa menyebut namanya selepas kali terakhir melawat kem berkenaan Disember tahun lalu.

Laporan itu turut menyangkal dakwaan Beijing yang mengatakan bahawa kehadiran di kem-kem berkenaan adalah secara sukarela.

"China agak teliti membentuk imej Xinjiang dalam dunia diplomatik. Sepanjang sembilan bulan yang lalu, Beijing telah menjemput pengunjung terpilih dalam lawatan berkumpulan di kem tahanan untuk mendapatkan publisiti yang positif.

"China pada umumnya telah memilih pelawat, termasuk wartawan dari negara-negara rakan mereka.

"Perjalanan tidak selalu seperti yang dirancang. Dua laporan - satu oleh diplomat Malaysia dan satu lagi oleh pegawai-pegawai Kesatuan Eropah - sangat kritikal selepas lawatan mereka," kata laporan itu.

NYT mendakwa diplomat itu menulis bahawa: "Para perwakilan sebenarnya dapat merasakan ketakutan dan kekecewaan dari para pelajar (Uyghur)."

Dia dikatakan merupakan sebahagian daripada delegasi dengan diplomat-diplomat lain dari negara-negara Islam yang melawat Uyghur.

"China mungkin mempunyai alasan yang sah untuk melaksanakan dasar yang bertujuan untuk menghapuskan ancaman keganasan, terutama di Xinjiang.

"Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatianya, masalah ini ditangani dengan cara yang salah dan tidak sah, misalnya melarang kanak-kanak di bawah umur daripada mempelajari al-Quran," kata diplomat itu lagi.

Diplomat itu juga menyifatkan China menggunakan alasan ancaman keganasan untuk "membersihkan" Muslim Uyghur "sehingga mereka menjadi warga China yang dapat diterima."

Bagaimanapun, NYT mendakwa bahawa laporan berkenaan tidak pernah didedahkan kepada umum kerana Malaysia ketika ini sedang merunding semula perjanjian infrastruktur dengan republik itu.

"Ia (Malaysia) juga semakin bergantung kepada China untuk membeli minyak sawit, eksportnya yang terbesar," tambah NYT lagi.

Pada bulan Disember, kedutaan China di Kuala Lumpur berkata "kem pendidikan semula" adalah sebahagian daripada langkah untuk mengatasi keganasan dan ekstremisme di rantau ini.

Pada 1 Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Pejabat Mujahid Yusof menafikan laporan sebuah portal berita yang memetiknya mengulas isu berita palsu berkaitan umat Islam Xinjiang, China.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya, laporan portal berkenaan pada 28 Jun berdasarkan teks ucapan syarahannya amat mengelirukan, tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan ucapan.

“Dalam teks ucapan YB menteri, tiada perkataan Xinjiang mahupun etnik Uyghur yang disebut.

“Perkataan 'false news' digunakan bagi memberi gambaran bahawa berita palsu mampu menjejaskan hubungan antara negara dan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Menurut pejabat Mujahid juga, pemimpin Amanah itu juga berkata umat Islam di China bukan sahaja terdiri daripada etnik Uyghur tetapi terdapat beberapa etnik lain antaranya Hui, Kazakh, Uzbeks dan Tajik.

Portal itu melaporkan Mujahid menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai “berita palsu”.

“Berita palsu di China mengenai umat Islam ditindas boleh mencetuskan gelombang simpati pada orang yang ditindas dan menjejaskan hubungan,” Mujahid dipetik sebagai berkata dalam ucapan di sebuah universiti di Beijing.

Lihat Komen
ADS