Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Inkues Zahir: Menteri pertahanan akan bawa ke peringkat lebih tinggi
Diterbitkan:  Sep 28, 2019 11:09 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Kementerian Pertahanan akan membawa permintaan pihak keluarga yang menggesa inkues bagi mencari punca kematian anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata demikian dalam suatu kenyataan hari ini.

"Berhubung dengan permintaan keluarga agar inkues diadakan bagi mencari punca kematian allahyarham, Kementerian Pertahanan akan membawa permintaan ini ke peringkat yang lebih yang lebih tinggi untuk dipertimbangkan," katanya.

Aktor veteran, AR Badul, dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung kematian anaknya yang diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan melaksanakan inkues bagi mencari kebenaran punca kematian Mohd Zahir pada 4 September lalu.

Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie, 70, pada 26 September lalu dilaporkan berkata beliau bukan mahu menuduh atau mencari salah siapa, sebaliknya cuma mahu keluarga dan orang awam mendapat penjelasan berhubung kejadian membabitkan Mohd Zahir.

“Saya mahu tahu kronologi kematian dia.

"Bagaimana peluru boleh tersasar? Adakah posisi (cara dia berdiri) salah dan sebagainya," soalnya.

Arwah merupakan Mejar Komando Kem Sungai Udang, Melaka meninggal dunia akibat tertembak ketika membuat gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, pada kejadian awal bulan ini.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu juga berkata pihaknya menyokong kenaikan pangkat allahyarham daripada Mejar ke Leftenan Kolonel.

"Kementerian Pertahanan juga menyokong kenaikan pangkat Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya kepada Leftenan Kolonel pada Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang telah bersidang pada 17 September 2019, tertakluk kepada kelulusan Seri Paduka Banginda Yang Di-Pertuan Agong," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah pada 10 September lalu berkata kes kematian Mohd Zahir disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan berkenaan menyebabkan kematian dengan cuai.

Untuk rekod, prosiding inkues termaktub di bawah Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan apabila siasatan menunjukkan bahawa sesuatu kematian itu disebabkan oleh kekerasan atau disebabkan oleh orang lain, maka suatu bedah siasat perlu dilakukan.

Hasil bedah siasat akan diberikan kepada seorang majistret dan jika majistret tidak berpuas hati tentang punca kematian tersebut maka inkues akan dibuat mengikut peruntukan Kanun Tatacara Jenayah.

Selain itu, Peguam Negara juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan majistret untuk mengadakan inkues, atas alasan-alasan yang sama.

Lihat Komen
ADS