Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ATM hormati permohonan Badul tubuh inkues siasat kematian Zahir

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati keputusan AR Badul yang mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Mej Mohd Zahir Armaya.

Panglima ATM Jen Zulkifli Zainal Abidin berkata permohonan itu merupakan hak peribadi pelakon serta pelawak veteran itu, Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie.

“Kita kena hormati apa sahaja yang beliau kehendaki, kita menunggu proses seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan acara perbarisan Hari ATM ke-86 di Padang Kawad Kapal Diraja Pelandok di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut hari ini.

Bertemakan Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama, perbarisan itu disertai 54 pegawai dan 868 anggota pangkat lain serta 12 kontinjen termasuk tiga kontinjen wanita daripada setiap perkhidmatan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Malaysia TDM Jen Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima TLDM Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima TUDM Jen Affendi Buang.

Menjelas lanjut, Zulkifli berkata selepas semua urusan dan keputusan muktamad diperoleh, pihaknya akan memanggil keluarga Allahyarham Mohd Zahir untuk diberi penerangan terperinci.

“Kita kena tunggu apabila semua dah selesai.

"Kita bukan saja tidak maklumkan malah sentiasa berhubung dan lawatan dibuat hampir setiap hari kepada keluarga arwah,” katanya yang yakin TDM akan mengambil tindakan sewajarnya.

Semalam, Badul dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu dan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian pegawai komando tersebut.

TDM juga telah mengesahkan insiden kematian pegawai komando itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya mahu kesemua anggota ATM sentiasa menjaga nama baik organisasi sebagai institusi terhormat terutama dengan ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan termasuk kemunculan media sosial.

“Saya khuatir, sekiranya tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan kritikan, tohmahan dan fitnah yang akan menggugat keyakinan rakyat dan akhirnya melemahkan ATM,” katanya.

Sempena Hari ATM ke-86, satu karnival turut berlangsung selama dua hari mulai esok di Pangkalan TLDM di Lumut dengan pelbagai acara menarik disediakan antaranya pertunjukan aset ketenteraan. Masuk adalah percuma.

- Bernama

Lihat Komen
ADS