Malaysiakini
BERITA

'Dr M hadir Kongres Maruah Melayu burukkan hubungan kaum'

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Sep 2019, 4:39 pagi

Kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kongres Maruah Melayu yang dijadual berlangsung Oktober ini boleh memburukkan hubungan antara kaum di negara ini, kata MCA.

Naib presidennya Ti Lian Ker mempersoalkan sama ada Pakatan Harapan (PH) ingin memainkan isu perkauman di saat PAS dan Umno "bercakap tentang mempertahankan semangat dan matlamat Perlembagaan Persekutuan".

"Ironi apabila PAS dan Umno kini bercakap tentang Muafakat Nasional tanpa menjejaskan kedudukan dan hak etnik dan agama lain tetapi kerajaan PH dan pemimpin Bersatu mempromosikan melayu fobia yang diselindungkan sebagai 'martabat Melayu' di universiti awam," katanya dalam kenyataan.

Ti turut menggesa DAP agar 'menasihatkan' Mahathir tentang perkara itu.

"Kehadiran perdana menteri ke kongres untuk membincangkan 'maruah Melayu' membawa kembali ke era Ketuanan Melayu, yang mana dibantah habis-habisan oleh DAP pada masa dulu.

"Adalah ironi untuk melihat mereka kekal membisu mengenai perkara ini.

“Kehadiran pemimpin tertinggi mereka (PH) memburukkan lagi ketegangan dan mencetuskan rasa tidak selesa keapda masyarakat berbilang kaum," katanya lagi.

Ti berkata Mahathir perlu diingatkan bahawa beliau bukan sekada pemimpin orang Melayu tetapi perdana menteri untuk semua warga Malaysia, justeru sepatutnya "mencadang, menggalak dan menyokong satu kongres perpaduan dan maruah seluruh rakyat Malaysia".

Kongres Maruah Melayu dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 6 Oktober ini dan akan membincangkan permasalahan orang Melayu melibatkan aspek pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi.

Penganjurnya, Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya mengesahkan Mahathir akan hadir dan menyampaikan "amanatnya".

Bagaimanapun, pengarah pusat itu Hashim Ismail berkata beliau akan hadir bukan sebagai perdana menteri tetapi sebagai seorang pemimpin Melayu.

Kongres itu juga dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.