Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Negara Muslim tak bersuara isu Uyghur sebab China kuat'
Diterbitkan:  Sep 28, 2019 7:04 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Negara-negara majoriti umat Islam tidak bersuara tentang penindasan terhadap masyarakat Uyghur di Xinjiang kerana China sebuah negara yang sangat kuat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara bersama Benar News, beliau berkata negara-negara tersebut perlu mencari cara lain dalam menanggapi China.

"Anda tidak cuba berbuat sesuatu yang akhirnya akan gagal, jadi lebih baik cari cara lain yang kurang berseteru agar tidak terlalu mencetuskan kemarahan China kerana China memberi manfaat kepada kami.

"Tentunya negara itu rakan dagang besar kami, dan anda tidak mahu berbuat sesuatu yang akan gagal, dan dalam proses itu, mendapat kesusahan," katanya seperti dipetik.

Selain sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, kerajaan juga kini terikat dengan sejumlah projek era-BN seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Kerajaan juga masih dalam rundingan untuk menyelesaikan isu berkenaan dua lagi projek dengan negara itu, iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan tentang sebab negara majoriti Islam, termasuk Malaysia, tidak bersuara untuk masyarakat Uyghur sama seperti bantahan mereka terhadap layanan terhadap etnik Rohingya dan rakyat Palestin.

Kerajaan China dilaporkan menempatkan sejumlah 1.5 juta orang Islam Uyghur ke dalam apa yang dinamakan sebagai "pusat pendidikan" yang didakwa perlu untuk membanteras ekstremisme Islam.

Layanan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur menerima kritikan banyak pihak, termasuk oleh seorang diplomat Malaysia yang dilaporkan berkata Beijing menjadikan ancaman keganasan sebagai alasan "membersihkan" Muslim Uyghur "sehingga mereka menjadi warga China yang dapat diterima."

New York Times yang memetik kenyataan itu mendakwa kritikan diplomat itu tidak pernah didedahkan kepada umum kerana Malaysia pada masa itu sedang merunding semula perjanjian infrastruktur dengan China.

Walaupun tidak membangkitkan isu Uyghur dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB Selasa lalu, Mahathir menyuarakan kebimbangannya terhadap keselamatan pelarian etnik itu dalam satu program di New York.

"Sesetengah orang Uyghur mahu merdeka dan mengangkat senjata. Kerajaan China perlu mengambil langkah.

"Sesetengah (Uyghur lagi) lari ke Malaysia, kita benarkan mereka lari ke negara lain kerana bimbang dengan keselamatan mereka jika kembali ke China," katanya kepada anggota Majlis Hubungan Luar (CFR).

Pada Oktober 2018, kerajaan menolak permintaan Beijing untuk ekstradisi 11 etnik Uyghur yang ditahan atas sebab "mereka tidak melakukan apa-apa yang salah" di Malaysia.

Mereka sebaliknya dihantar ke Turki.

Lihat Komen
ADS