Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa: Pemimpin PH kini tak mampu bantah Dr M - Syed Husin
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 7:01 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali mengecam Pakatan Harapan (PH) dan para pemimpinnya yang menurutnya kini tidak lagi mampu berdepan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan tegas hari ini, beliau yang juga antara pengasas PKR - susulan penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia pada 2003 - berkata Majlis Presiden kuasa tertinggi dalam PH dan bukannya Mahathir.

"Sebenarnya Mahathir boleh diminta bersara sekarang oleh Majlis Presiden PH kerana majlis ini adalah kuasa tertinggi untuk menentukan bilakah Mahathir perlu turun. Mahathir tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah beliau mahu menyerahkan kuasa.

"Rakyat tertanya tanya apakah Anwar, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang sudah dibonsaikan oleh Mahathir?

Apakah mereka tidak sedar bahawa percaturan politik Mahathir hari ini menjurus ke arah memusnahkan konsensus kuasa yang dipersetujui sebelum PRU14?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Syed Husin berkata jawatan perdana menteri perlu diserahkan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU ke-15 bagi memberi ruang untuknya bersedia untuk berdepan dengannya.

Kegagalan berbuat demikian hanya akan 'membunuh' PH, katanya ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir bahawa beliau mempunyai masa tiga tahun untuk memegang jawatan itu.

Dalam wawancara di New York itu, Mahathir juga dilaporkan berkata tidak dapat menjamin penggantinya akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Beliau bagaimanapun tidak merujuk kepada Anwar secara khusus.

Mengulas perkara itu, Syed Husin menyifatkan kenyataan itu sebagai "pengkhianatan dan penghinaan kepada PH".

"Apakah Mahathir yang terbukti sebagai pemimpin licik dan cekap memutarbelit itu akan terus dibiarkan menipu rakyat?

Kita tujukan soalan ini kepada Majlis Presiden PH kerana seandainya berlaku anarki politik angkara Mahathir, maka merekalah yang akan dipertanggungjawabkan," katanya lagi.

Syed Husin yang bermula dalam arena politik dengan Parti Rakyat Malaysia pada 1970-an itu berkata, kerosakan negara bermula dengan Mahathir sebelum memburuk di era pentabdiran Najib Razak.

"Pejuang dan pemimpin yang dulunya berhempas pulas berjuang siang malam membela rakyat dan menyelamatkan negara kini sudah menjadi bisu.

"Suara yang membakar kebangkitan rakyat sudah bertukar menjadi suara yang memuji dan mengampu perdana menteri tua," katanya lagi.

Jika benar Mahathir sayangkan Malaysia, katanya, beliau patut segera berundur dan membiarkan "Anwar yang 22 tahun lebih muda" untuk membina semula negara.

Sebelum PRU lalu, PH menjadikan Mahathir sebagai calon perdana menteri berdasarkan persetujuan beliau akan menyerahkan kedudukan itu kepada Anwar.

Beliau pada mulanya berkata akan memegang jawatan itu selama kira-kira dua tahun, tetapi dalam beberapa wawancara berkata ia mungkin boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

Lihat Komen
ADS