mk-logo
Berita
'Tunggu PRU15 baru lantik Anwar jadi PM boleh bunuh PH'

Jawatan perdana menteri perlu diserahkan kepada Anwar Ibrahim sekurang-kurangnya dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali.

Katanya, langkah untuk melantik presiden PKR itu sebagai perdana menteri menjelang PRU15 hanya akan 'membunuh' Pakatan Harapan (PH).

“Kalau PRU15 baru nak serah (jawatan PM pada Anwar) itu nak membunuh parti, nak membunuh PH.

"Tak ada masa untuk Anwar berkempen, dia mesti bersedia sekurangnya dua tahun untuk mengatur pelbagai rancangan dan kempen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperingati 50 tahun Dr Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Hadir sama dalam majlis itu pakar ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram.

Syed Husin berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata mempunyai masa tiga tahun untuk memegang jawatan itu.

Bercakap pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, kelmarin Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai banyak masa untuk menyelesaikan banyak perkara.

Tegas Mahathir, beliau akan melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sebelum PRU ke-15 akan datang.

'Mahathir selalu lupa'

Mengulas lanjut, Syed Husin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR berkata beliau secara peribadi tidak percaya dengan kata-kata perdana menteri ketujuh itu.

“Saya memang tak boleh pegang cakap dia (Mahathir).

“Mahathir ini kadang-kadang dia buat keputusan bersama dengan pimpinan tapi nanti dia akan buat benda lain. Kemudian dia akan kata 'saya lupa'. Bukan Melayu sahaja lupa, Mahathir pun selalu lupa,” katanya.

Mandat kerajaan PH yang memenangi PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu akan berlarutan hingga 2023, sekali gus menyaksikan PRU-15 bakal diadakan sebelum itu.

Mengikut konsensus PH sebelum PRU14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan kemudiannya menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Anwar. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Dr Mahathir sebelum ini juga pernah menyatakan beliau akan berundur selepas dua tahun memegang jawatan perdana menteri.

Perjuangan PAS tak sama macam Dr Burhanuddin

Sementara itu, mengulas isu berlainan Syed Husin berkata sifat nasionalisme yang agresif pada Dr Burhanuddin Al-Helmy tiada lagi dalam perjuangan PAS sekarang.

Menurut Syed Husin, perjuangan PAS ketika ini terlalu menjurus kepada pegangan Islam sempit, tidak sepertimana adibawa Burhanuddin ketika memimpin parti itu dahulu.

"Perjuangan PAS sekarang dan dulu, sewaktu zaman Dr Burhanudin lain. Masa dia, ertinya ada progresif, ada sifat nasionalisme yang agresif dan mengiktiraf kedudukan keadilan sosial bagi golongan lain, agama lain, kaum lain dan sebagainya.

"Sekarang berbeza sama sekali, PAS sekarang sifat nasionalisnya kurang, sifat agamanya terlalu sempit, sihat anti kepada golongan bukan islam, bukan melayu kuat," katanya.

Tambah Syed Husin, sifat nasionalisme itu makin memburuk dengan kerjasama politik antara Umno dan PAS.

Dr Burhanuddin menerajui PAS pada tahun 1956 dan digambarkan sebagai seorang yang bersifat “nasionalis radikal dan pemikir Islam”. Beliau juga merupakan bekas Yang Dipertua Agung PAS.

Beliau tidak pernah meletakkan jawatan atau keluar dari PAS walaupun selepas ditahan di bawah ISA pada 28 Januari 1965 hinggalah meninggal dunia pada 25 Oktober 1969.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini