Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kongres Maruah Melayu tepis kenyataan pemimpin Umno

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Dr Zainal Kling menafikan dakwaan universiti digunakan sebagai alat politik susulan penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober ini.

"Pada tahap ini kita tidak terima (kenyataan) dialatkan oleh orang lain.

"Kalau dikata kita menjadi alat, kita tak hendak menjadi alat kerana kita berfikiran sendiri," katanya.

Naib presiden Umno, Mohamed Khalid Nordin sebelum ini mendakwa kongres itu menggunakan institusi pengajian tinggi sebagai alat politik dalam penganjuran kongres tersebut.

Kongres pada Ahad minggu hadapan bertempat di Stadium Malawati Shah Alam itu turut dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu undangan.

Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah merupakan empat universiti yang membentuk gabungan bagi menjayakan kongres tersebut.

Zainal berkata kesemua universiti terlibat mempunyai pusat kajian kebudayaan dan masyarakat Melayu.

Untuk acara kali ini, katanya, pusat pengajian tinggi awam itu akan bekerjasama bagi menjawab persoalan berkaitan kedudukan agama, kebudayaan dan bangsa Melayu di negara ini.

"UiTM misalnya mempunyai Institut Pemikiran Melayu, UM mempunyai Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, UPSI mempunyai Institut Tamadun Melayu dan UPM juga mempunyai Muzium Warisan Melayu," katanya.

Kesemua universiti terlibat, jelasnya, akan mengendalikan perbincangan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

UM, katanya, akan mengendalikan isu berkaitan persoalan politik, UiTM akan mengendalikan isu ekonomi, UPSI mengendalikan isu yang berkait dengan pendidikan dan UPM pula akan memfokuskan kepada isu kebudayaan dan agama.

Menjelaskan mengenai cubaan mereka menggunakan saluran politik dengan menyampaikan memorandum dan menjemput Dr Mahathir ke kongres tersebut, dia memberitahu tindakan itu bagi memastikan suara mereka didengari.

"Kalau universiti-universiti ini bertindak sesama sendiri di kalangan mereka, tidak ada makna sebab yang berkuasa itu politik.

"Sebab itu kita menggunakan saluran politik yang ada kaitan dengan perdana menteri," tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS