Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KES 1MDB NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan hari ini bahawa tidak pernah sekali pun sejak 1MDB ditubuhkan pada 2009, bekas perdana menteri Najib Razak menarik balik atau bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Low Taek Jho atau Jho Low dalam pengurusan 1MDB,

Dalam keterangan kesaksiannya semasa perbicaraan kes 1MDB Najib, saksi pendakwaan - bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi - memberitahu mahkamah bahawa keadaan itu menyebabkan beliau percaya Jho Low mempunyai mandat daripada Najib untuk menyampaikan arahan kepada kakitangan pengurusan 1MDB, meskipun ahli perniagaan itu tidak mempunyai sebarang kuasa rasmi dalam syarikat berkenaan.

Shahrol berkata demikian hari ini ketika membaca dari kenyataan kesaksiannya dengan menambah bahawa Jho Low memainkan peranan dalam merealisasikan usahasama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS berhubung projek Tun Razak Exchange (TRX) pada 2012.

Aabar merupakan anak syarikat milik International Petroleum Investment Company (IPIC) milik Abu Dhabi.

"Jho Low berkata dia akan membawa pelaburan dari Abu Dhabi ... Dia kemudian memberitahu saya bahawa Aabar Investments akan melabur dalam plot di TRX.

"... Berdasarkan pengalaman saya dengan Jho Low, saya yakin pelaburan Abu Dhabi / Aabar telah dipersetujui oleh pemegang saham 1MDB Najib.

"Jho Low juga menekankan bahawa semua ini diketahui oleh Najib dan ini dibuktikan oleh semua perjanjian rasmi yang ditandatangani oleh Najib.

"Semua tindakan ini konsisten dan meyakinkan saya bahawa walaupun Jho Low tidak mempunyai kuasa rasmi dalam 1MDB, sejak awal 1MDB, saya tahu Jho Low mempunyai mandat untuk membawa arahan Najib kepada saya dan pengurusan (1MDB)," kata saksi itu, membaca dari keterangan kesaksian 270 muka suratnya.

Ketua pendakwaan, yang juga bekas hakim mahkamah persekutuan, Gopal Sri Ram, terus menanyakan kepada Shahrol adakah dia ada mengesahkan hal ehwal Aabar Investement dengan Najib.

Gopal: Anda berkata Jho Low memberitahu anda tertuduh (Najib) tahu mengenai perkara ini?

Shahrol: Ya.

Sri Ram: Adakah anda mengesahkan dengan tertuduh?

Shahrol: Tidak. Saya merasakan bahawa tidak sepatutnya (saya mengesahkan), sejak tahun 2009, semua arahan yang berkaitan dengan perkara 1MDB yang telah disampaikan kepada saya oleh Jho Low dari Najib telah terbukti konsisten dengan tindakan dan kelulusan seterusnya daripada Najib. Selain itu, tidak ada satu contoh di mana arahan daripada Jho Low (kepada Shahrol) ditolak atau dibantah oleh Najib.

Jho Low berkhidmat sebagai penasihat kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sejak ia diperbadankan pada Februari 2009. Bagaimanapun, beliau tidak memegang sebarang jawatann rasmi apabila TIA menjadi 1MDB pada September tahun itu.

Terdahulu, Shahrol telah memberi keterangan bahawa beliau percaya Jho Low diberi mandat untuk mengendalikan semua terbitan bon dan jaminan IPIC berdasarkan pemerhatiannya terhadap tindakan Najib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS