Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Laporan kewangan LTAT akan dibentang di Parlimen, dibuka pada awam'

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini memberi penjelasan lanjut mengenai sebab kadar rendah dividen Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) iaitu dua peratus, seperti yang diumum semalam.

Di majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Kuala Lumpur, Mohamad membangkitkan beberapa perkara antaranya dividen terlebih bayar dan pelaburan dalam Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang menurutnya masing-masing bernilai RM500 juta.

"Jabatan Audit Negara menegur laporan tahun 2016 yang dilaporkan pada 2017, yang mana (laporan itu) tidak betul dan kita perbetulkannya. Maka inilah laporan yang sebenarnya.

"Berlaku lebihan pembayaran dividen kira-kira RM500 juta," katanya tanpa menyebut secara khusus tahun dividen tersebut.

"Wang kita terbantut dalam pelaburan AES lebih RM500 juta. Kalau wang itu ada di tangan LTAT, buat simpanan di bank saja sudah dapat (untung) lebih RM30 juta," katanya lagi.

Semalam, LTAT mengumumkan dividen sebanyak 2.0 peratus - paling rendah dalam sejarah - bagi ahlinya untuk tahun kewangan 2018 yang berakhir 31 Disember 2018.

Ketua Eksekutif LTAT Nik Amlizan Mohamed berkata kadar itu berdasarkan hasil yang diraih bagi tahun kewangan 2018 yang merosot ekoran "pelbagai faktor yang melibatkan dua tahun kewangan sebelumnya.

Amlizan juga membangkitkan dividen terlebih bayar melibatkan 2016 dan 2017 yang menurutnya menjejaskan pendapatan yang merosot daripada RM384.7 juta kepada RM65.9 juta untuk tahun kewangan 2016.

Dalam pada itu, Mohamad berkata LTAT akan mengadakan sidang media pada 4 Oktober ini bagi menerangkan rancangan jangka masa panjang lembaga itu.

Laporan kewangan LTAT juga akan dibentangkan dalam sidang parlimen akan datang dan diumumkan kepada orang awam, katanya lagi.

Dalam satu kenyataan semalam, Mohamad berkada dividen dua peratus berdasarkan kemampuan semasa LTAT yang terjejas akibat "pelaburan tidak munasabah kepimpinan terdahulu".

Bagaimanapun bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa kerajaan "malu" untuk menyatakan sebab sebenar kemerosotan pendapatan LTAT yang menurutnya kerana kerugian pelaburan utama lembaga tersebut susulan kemerosotan ekonomi selepas PRU ke-14, selain kemerosotan pasaran saham ketika pentadbiran PH.

Lihat Komen
ADS