Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: K'jaan malu dedah sebab utama dividen LTAT rendah
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan dividen dua peratus Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi 2018 berpunca daripada masalah yang berlaku ketika pentadbirannya.

Sebaliknya beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) "malu" untuk menyatakan sebab utama di sebalik kemerosotan pendapatan besar LTAT bagi tahun kewangan 2018.

"Seperti biasa pelbagai alasan diberi, termasuk cubaan untuk menyalahkan kerajaan BN dahulu.

"Tapi apa yang mereka tidak sebut ialah kebanyakkan pelaburan besar LTAT telah mencatat kerugian kerana ekonomi yang semakin merosot selepas PRU ke-14 dan juga pasaran saham negara yang bertukar menjadi paling corot di dunia di bawah PH," dakwanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata lagi, sepanjang sembilan tahun menjadi perdana menteri, purata dividen LTAT ialah pada kadar 14.1 peratus.

Dividen dua peratus yang diumum LTAT hari ini ialah paling rendah dalam sejarah lembaga itu.

Menurut Ketua Eksekutif LTAT Nik Amlizan Mohamed, kadar itu susulan pelbagai faktor melibatkan dua tahun sebelum ini, antaranya perakuan semula tahun kewangan 2016 dan 2017 yang telah memberikan dividen melebihi sepatutnya, yang akhirnya menyebabkan kesan negatif kepada pendapatan LTAT.

Pengerusinya Dr Mohd Zahidi Zainuddin pula berkata audit oleh Ernst & Young (EY) mendapati berlaku kepincangan dalam kedudukan kewangan tetapi ia bukan berunsur jenayah. tetapi lebih kepada salah pengurusan.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan PH tidak menyebut saham Boustead Holdings - pelaburan utama LTAT - yang menurutnya telah merosot 67 peratus sejak PRU ke-14 selain menanggung kerugian RM488 juta tahun lalu.

Pada Februari lalu, EY mendedahkan kepincangan dan kelemahan perakaunan dalam LTAT.

Lembaga itu kemudian menyatakan pihaknya melaksanakan rancangan lima tahun bagi menangani kelemahan itu dan akan menumpukan pembinaan struktur tadbir urus di dalamnya.

Lihat Komen
ADS