Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Husin: Negara menuju 'kleptokrasi kroni' di bawah Dr M?

WAWANCARA | Pengasas bersama PKR Syed Husin Ali berpandangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah kembali kepada autoritarinisme dan menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan negara.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mengatakan telah menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kerajaan kleptokratik pada PRU lalu, ahli politik veteran itu memberi amaran negara kini berisiko menuju ke arah "kleptokrasi kroni".

"Mahathir sudah menjadi dirinya yang dulu, terutama beberapa bulan kebelakangan ini. Mahathir yang dulu bermakna dia diktatorial atau autoritarian," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Beliau mendakwa ada bukti menunjukkan sejumlah besar kekayaan negara terkumpul di kalangan keluarga dan kroni pengerusi Bersatu itu.

"Banyak syarikat dan projek diberikan kepada kroninya, terutama (pengerusi Majlis Penasihat Negara) Daim Zainuddin, (ahli perniagaan) Syed Mokhtar Albukhary serta anak-anaknya," katanya

Katanya, kuasa memang boleh mendatangkan 'ketagihan', terutama jika ia membolehkan seseorang itu mengkayakan diri, keluarga dan orang terdekat dengannya.

"Kita sudah ada kleptokrasi. Adakah kini kita akan menjadi kleptokrasi kroni? Saya harap tidak."

Antara perkara yang mendapat perhatian sebelum ini ialah apabila kerajaan mengalihkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Khazanah Nasional, daripada Kementerian Kewangan kepada Jabatan Perdana Menteri, manakala Petronas dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Langkah itu membolehkan perdana menteri mengawal Khazanah, sebuah syarikat pelaburan kerajaan.

Sebelum ini, ahli akademik dari Universiti Malaya Terence Gomez menyuarakan kebimbangan kerajaan kembali mengamalkan politik naungan.

Beliau turut mengkritik penubuhan entiti seperti Syarikat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI), yang menurutnya memberikan kuasa hampir mutlak kepada ahli politik dalam soal pembahagian sumber di negeri masing-masing.

PRK Tanjung Piai boleh jadi referendum

Ketika Mahathir kembali sebagai perdana menteri susulan PRU ke-14, Syed Husin berkata beliau sanggup mendengar pandangan berbeza.

Katanya lagi, Mahathir dilihat sebagai pemimpin yang sudah berubah, terutama dengan melepaskan portfolio pendidikan selepas sejumlah pihak membangkitkan yang ia bertentangan dengan manifesto PH.

Bagaimanapun, Syed Husin berkata keadaan kini berbeza.

"Cara autoritariannya dilihat terutama kebelakangan ini apabila dia membuat keputusan secara sendiri," katanya.

Beliau membangkitkan bagaimana lima senator Bersatu dilantik beberapa bulan lalu, walaupun Mahathir pada mulanya hanya setuju untuk dua senator ketika mesyuarat Majlis Presiden PH.

Selepas meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden PKR pada 2010, Syed Husin berkata beliau memilih untuk menjadi lebih 'low profile' dan menumpukan kepada penulisan.

Bagaimanapun beliau terpanggil untuk memberi pandangan selepas Mahathir terus membuat kenyataan bernada kabur berkenaan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau mengeluarkan kenyataan keras selepas Mahathir berkata ada masa tiga tahun untuk memegang jawatan itu, dan tidak boleh menjamin penggantinya dapat menjalankan tugas dengan baik.

Dalam wawancara itu, Syed Husin sekali lagi menggesa Mahathir untuk berundur.

Beliau juga berkata PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November pada takat tertentu boleh menjadi referendum terhadap kepimpinannya.

Katanya, Mahathir mungkin ingin terus memegang jawatan itu sehingga Mei 2021 atau malah satu penggal penuh.

"(Jika begitu) saya rasa kepimpinan PH perlu menimbang untuk ambil tindakan tertentu bagi memujuknya untuk meletakkan jawatan dan memberi jalan kepada Anwar," katanya.

Bagaimanapun, beliau menolak kaedah undi tidak percaya kerana ia berisiko memecahbelahkan PH.

Lihat Komen
ADS