Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendapat Syed Saddiq bukan pendirian kabinet, kata PM

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman tidak pernah memaklumkan kepada kabinet berhubung cadangan untuk memulaukan khidmat penghantar makanan, Foodpanda, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, katanya, apa juga pendapat Syed Saddiq dalam isu berkenaan adalah pendirian peribadi anggota parlimen Muar itu.

"Itu pendapat dia (Syed Saddiq), dia tidak bincang dalam kabinet langsung.

"Itu bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa dia buat kenyataan itu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya kenyataan Syed Saddiq semalam memberi bayangan kepada orang ramai agar 'memulaukan' syarikat perkhidmatan penghantaran makanan yang disifatkannya sebagai angkuh.

Semalam, Syed Saddiq mengingatkan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda Malaysia supaya tidak angkuh.

Menurutnya, sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja atau pengguna dan boleh dijatuhkan oleh pekerja atau pengguna.

Syed Saddiq mengulas kenyataan Pengarah urusan syarikat itu Sayantan Das yang membayangkan Food Panda tiada masalah dengan mogok penunggang terhadap skim pembayaran baru mereka.

Bermula 1 hingga 3 Oktober lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baru yang berkuat kuasa sejak 30 Sept 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Penghantar mendakwa, di bawah skim baru, kadang-kadang mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga jam untuk mendapatkan pesanan justeru, pendapatan mereka berkurangan.

Berdasarkan skim baru itu, bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.

Lihat Komen
ADS