Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Syed Saddiq ingatkan Food Panda jangan angkuh
Diterbitkan:  Oct 7, 2019 10:05 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda Malaysia supaya tidak angkuh.

"Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja atau pengguna dan boleh dijatuhkan oleh pekerja atau pengguna.

"Keangkuhan bukan jalan penyelesaian. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna," katanya pada ciapan di Twitter yang disertakan laporan Malaysiakini.

Difahamkan, Syed Saddiq mengulas kenyataan Pengarah urusan syarikat itu Sayantan Das hari ini yang membayangkan Food Panda tiada masalah dengan mogok penunggang terhadap skim pembayaran baru mereka.

“Jika awak (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka,” katanya dalam sesi taklimat Foodpanda di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pada 1 Oktober lalu, menteri itu mengadakan sesi dialog dengan lebih 100 penghantar makanan Foodpanda berkumpul di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Mereka yang hadir terdiri daripada penghantar dari Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur menyatakan rasa tidak puas hati dengan skim pembayaran baru syarikat itu.

Bermula 1 hingga 3 Oktober lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baru yang berkuat kuasa sejak 30 Sept 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Sayantan menjelaskan syarikat itu tidak terjejas dengan mogok itu.

Penghantar mendakwa, di bawah skim baru, kadang-kadang mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga jam untuk mendapatkan pesanan justeru, pendapatan mereka berkurangan.

Berdasarkan skim baru itu, bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.

Lihat Komen
ADS