Paling Popular
Terkini

Sekumpulan pemandu e-hailing hari ini telah menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap syarat baru pelaksanaan penguatkuasaan perkhidmatan e-hailing mulai 12 Oktober ini.

Kira-kira 50 orang pemandu e-hailing yang diwakili oleh jurucakap mereka, Ng Kian Nam, mempertikaikan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam yang menjelaskan bahawa kod "AH" (iaitu kenderaan persendirian e-hailing), akan didaftarkan secara automatik dalam sistem mySikap, dan tidak akan dipaparkan dalam geran kenderaan.

"Berkenaan kenyataan menteri semalam, walaupun beliau kata polisi itu bukan pusingan U, turn kami nak balas: U-turn tetap U-turn.

"Jadi ia masih timbulkan masalah, kesusahan dan kekeliruan kepada pemandu e-hailing," katanya dalam satu sidang media di pekarangan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Ng yang juga merupakan seorang peguam dan Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA itu berkata, syarat kementerian tersebut bukan saja menyusahkan tetapi boleh mempengaruhi harga kenderaan mereka.

Jelasnya, tidak ada beza sama ada kod "AH" itu dipaparkan di geran atau mySikap kerana, dakwanya, pembeli kenderaan akan menyemak status kenderaan tersebut di mySikap.

"Maksud kami, apa beza kalau tukar status di geran atau tukar status di mySikap?" soalnya.

Semalam, Loke berkata kod AH itu akan didaftarkan secara automatik dalam sistem mySikap dan pemilik serta pemandu e-hailing tidak perlu ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), untuk melaksanakan urusan itu.

Beliau juga berkata kod AH tersebut juga tidak akan terpapar di dalam geran kenderaan, justeru itu pemilik tidak perlu risau untuk menjual semula kenderaan mereka pada masa hadapan.

Pada masa sama, kumpulan tersebut turut menyerahkan memorandum kepada wakil Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pengangkutan, Leelakumari Vennayagam, selepas gagal bertemu dengan Loke.

Difahamkan, Loke berada di majlis pelancaran perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) di Ipoh, Perak.

Ng menambah pihaknya sebelum ini pernah menghantar tiga surat rasmi yangh diserahkan kepada pejabat Loke untuk berdialog dengan mereka berhubung isu berkaitan hak pemandu e-hailing.

Namun, katanya, surat tersebut masih belum dibalas sehingga kini.

Lihat Komen
ADS