Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usaha jahat kaitkan LTTE dengan PAS, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata cubaan mengaitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan parti itu, melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), sebagai berniat jahat.

Beliau berkata ini kerana seorang individu yang ditahan polis dalam siasatan itu bukan lagi menganggotai DHPP yang merupakan sayap bukan Islam PAS.

“Sebut pasal ahli PAS (yang ditahan dalam siasatan LTTE oleh polis) kita sudah keluar kenyataan rasmi mengenainya. Dia juga sudah tulis surat rasmi (kepada DHPP menyatakan) dia bukan lagi ahli DHPP.

“Langkah kaitkan PAS (dengan LTTE) adalah usaha yang jahat. Pihak yang dapat maklumat (berkenaan kaitan itu) perlu periksa dahulu sebelum keluarkan kenyataan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu hari ini, Pengerusi DHPP N Balasubramaniam dalam kenyataan mengesahkan salah seorang daripada 12 individu yang ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan LTTE memang pernah menganggotai dewan itu.

Berdasarkan semakan daftar ahli, katanya, individu itu memohon untuk menyertai DHPP pada 14 Januari 2018 tahun lalu tetapi telah keluar parti beberapa bulan kemudian, iaitu pada 21 Mei 2018.

Individu itu termasuk di kalangan 12 suspek yang ditahan kerana disyaki cuba menghidupkan semula LTTE yang berkubur pada 2009.

Selainnya, turut ditahan ialah dua adun DAP, iaitu G Saminathan (Gadek) dan P Gunasekaren (Seremban Jaya), dan empat ahli Naam Tamilar - sebuah parti politik di India.

Kesemua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), yang membolehkan penahanan tanpa bicara sehingga 28 hari.

Penggunaan akta itu mengundang kritikan daripada sejumlah pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, memandangkan akta itu termasuk dalam peruntukan undang-undang yang ingin dimansuhkan PH seperti yang dinyatakan dalam manifesto PRU ke-14.

Lihat Komen
ADS