Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengkaji penutupan Utusan Melayu Malaysia Bhd secara tiba-tiba pada minggu lepas.

Setiausaha NUJ cawangan Utusan, Muhammad Bashir Abu Bakar, yang juga salah seorang daripada 862 kakitangan Utusan yang diberhentikan memberitahu wartawan di parlimen bahawa penutupan akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini telah mengabaikan pembayaran gaji dan tuntutan lain.

"Kami berharap perkembangan nasib warga kerja Utusan dapat dibincangkan dalam sesi Dewan Rakyat supaya rakyat Malaysia seluruhnya dapat melihat siapa sebenarnya pejuang Melayu dan siapa penindas Melayu.

"Dalam situasi sangat menyedihkan dan penuh tanda tanya tentang nasib pekerja Utusan, kami turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pejabat Peguam Negara dan agensi-agensi berkaitan jual-beli hartanah mahupun proses likuidasi memantau proses penjualan aset-aset Utusan dan pembayaran hutang, khususnya pampasan kepada kakitangan yang terkesan.

"Perkembangan ini juga mungkin satu penanda aras kepada nasib industri media di Malaysia. Media cetak dan elektronik, termasuk media baharu diharap mengikuti perkembangan nasib warga kerja Utusan supaya sejarah sama tidak berulang," katanya.

Berikutan masalah kewangan selama bertahun-tahun, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! mengakhiri operasi pada 9 Oktober lalu dan semua kakitangan telah diberikan cuti sehingga akhir bulan ini.

Dalam memo dalaman, Pengerusi Eksekutif Utusan, Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu tidak lagi mampu membayar hutangnya walaupun terdapat beberapa percubaan untuk menyelamatkan perniagaan berusia 80 tahun itu.

Setakat ini, syarikat tersebut belum menyelesaikan tunggakan gaji untuk bulan September dan Oktober, selepas tiga bulan lambat membayar gaji untuk bulan Julai dan Ogos, yang telah didepositkan pada 4 Oktober lalu.

Satu delegasi wakil NUJ-Utusan yang diketuai pengerusinya Mohd Taufek Abu Bakar membangkitkan masalah yang dihadapi mereka kepada penggubal undang-undang di parlimen hari ini.

Kumpulan itu bertemu dengan MP Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan MP Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid.

Anggota parlimen Kapar yang juga bekas penggerak kesatuan sekerja mengingatkan mengenai perjanjian bersama antara majikan dan pekerja Utusan.

"Nampak syarikat Utusan Malaysia ini sudah melanggari bukan saja syarat dalam perjanjian bersama tapi juga dalam Akta Pekerjaan 1955.

"Saya nak ingatkan di bawah undang-undang ini kalau dikhianati dia boleh dihukum penjara," tegasnya.

Sementara itu, Fahmi pula menyuarakan keprihatinan mengenai gaji dan tuntutan lain yang tidak dibayar kepada bekas kakitangan Utusan itu serta kepada kumpulan awal yang mengikuti Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada awal tahun ini.

Tidak seperti tawaran kebiasaaannya apabila bayaran dibuat sekaligus, pembayaran VSS secara ansuran kepada kakitangan Utusan juga telah diberhentikan.

"Saya rasa pemilik baru mesti tampil memberikan penjelasan bertulis kepada pekerja.

"Mereka perlu bertanggungjawab dalam hal ini," katanya.

Penutupan Utusan berlaku kurang dari dua bulan selepas ia menaikkan harga akhbar cetaknya dalam usaha untuk menampung kos operasi.

Pada masa itu, Umno selaku bekas pemiliknya menyuntik dana sebanyak RM1.6 juta untuk membantu membayar gaji tertunggak berikutan piket kakitangan akhbar tersebut.

Syarikat itu kemudiannya disingkirkan dari Bursa Malaysia kerana gagal menyelesaikan pinjamannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS