Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Boleh kritik tapi tak perlu tarik balik ijazah, kata Syed Saddiq
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 8:51 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Walaupun hak bersuara perlu dihormati, pentas konvokesyen bukan tempat yang sesuai untuk menyatakan bantahan, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pun begitu, katanya, menghukum penuntut terbabit dengan menarik balik ijazah yang diterima bukanlah langkah yang wajar.

Sebaliknya, kata anggota parlimen Muar itu, orang yang tidak bersetuju dengan tindakan penuntut terbbait boleh mengkritik dan mengecam tindakan tersebut tanpa merampas ijazah yang diusahakan selama lebih empat tahun.

"Dalam kita bebas bersuara, kita juga perlu belajar untuk menghormati keadaan atau situasi setempat.

"Jangan disebabkan kita, saat gembira dan bermakna bagi orang lain pula tercalar," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam semalam.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama Syed Saddiq dipercayai mengulas mengenai insiden seorang penuntut Universiti Malaya (UM) yang mengejutkan orang ramai apabila melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor pusat pengajian tinggi itu sejurus selepas menerima skrolnya pada 14 Okt lalu.

Tindakan itu dilakukan Wong Yan Ke ketika dia berjalan turun dari pentas dan sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Faham bagaimana rasanya

Sebagai reaksi segera, UM membuat laporan polis sehari kemudian kerana menganggap tindakan tersebut sebagai biadab dan tidak dapat diterima sama sekali.

“UM menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan untuk diambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan dikeluarkan UM.

Kata Syed Saddiq, majlis konvokesyen adalah detik untuk penuntut meraikan kejayaan yang dicapai, dan lebih penting, menurutnya, waktu untuk ibu bapa berasa bangga melihat anak mereka bersarung jubah dan menggenggam ijazah.

Menurutnya lagi, bagi sesetengah orang mungkin segulung ijazah itu tidak begitu penting, namun keadaan adalah sebaliknya buat ibu dan bapa yang berasa sangat bahagia.

View this post on Instagram

Dulu, saya pernah disekat daripada menghadiri majlis konvokesyen kerana kelantangan saya menentang rasuah & salahguna kuasa. Siapa yang tak nak hadir majlis konvokesyen sendiri setelah 4 tahun berpenat lelah menuntut ilmu? Akhirnya, “majlis konvokesyen” di Airport bersama mama & abuyah. . Dalam kita bebas bersuara, kita juga perlu belajar untuk menghormati keadaan atau situasi setempat. . Jangan disebabkan kita, saat gembira dan bermakna orang lain tercalar. Majlis Konvokesyen adalah majlis untuk kita meraikan kejayaan para pelajar dan yang lebih penting, untuk ibu bapa bangga melihat anak-anak mereka bersarung jubah dan menerima segenggam ijazah. . Mungkin bagi kita, segulung ijazah tidak penting, tetapi bagi ibu dan bapa kita, itu sangat bermakna dan membahagiakan. . Saya tidak nafikan hak pelajar untuk bersuara tetapi saya secara peribadi percaya itu bukanlah tempat yang terbaik untuk protes kerana hari itu bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi untuk kawan-kawan dan keluarga mereka juga. . Setiap orang bebas untuk bersuara dan itulah juga yang saya perjuangkan sejak dahulu lagi. Jadi, saya faham bagaimana rasanya suara kita disekat, dikenakan tindakan hanya kerana tidak setuju dengan pentadbiran universiti mahupun negara. . Dalam meraikan pendapat semua pihak, kita harus bersedia untuk bersetuju dengan yang tidak bersetuju. . Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan gesaan untuk menarik balik ijazah pelajar itu. Kita boleh kritik & kecam tindakan beliau tanpa merampas ijazah yang diusahakan selama lebih 4 tahun. . Ruang kebebasan harus dipandu dengan sikap bertanggungjawab. Saya menghormati hak demokrasi setiap rakyat tetapi setiap tindakan harus datang bersamanya tanggungjawab. Kita raikan demokrasi yang matang dan tanggungjawab ini harus dipikul oleh pelajar dan universiti. . Apa-apapun, tahniah saya ucapkan kepada semua siswa yang sudah berjaya merangkul segulung ijazah. Make your Malaysia proud!

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on

 

Pada masa sama Syed Saddiq menjelaskan, beliau faham perasaan seseorang yang dihalang menghadiri majlis konvokesyen kerana pernah melalui sendiri detik sebegitu.

Katanya, kelantangan mengkritik amalan rasuah dan salah guna kuasa sebelum ini menyebabkan beliau tidak dapat hadir menerima ijazah yang sepatutnya.

"Siapa yang tak nak hadir majlis konvokesyen sendiri setelah empat tahun berpenat lelah menuntut ilmu?" katanya mengenang detik beberapa tahun lalu.

Syed Saddiq turut memuat naik gambar beliau disarungkan jubah oleh ibu dan bapanya di lapangan terbang bagi mengiring hantaran tersebut.

"Setiap orang bebas untuk bersuara, dan itulah juga yang saya perjuangkan sejak dahulu lagi.

"Jadi, saya faham bagaimana rasanya suara kita disekat, dikenakan tindakan hanya kerana tidak setuju dengan pentadbiran universiti mahupun negara.

"Dalam meraikan pendapat semua pihak, kita harus bersedia untuk bersetuju dengan yang tidak bersetuju," katanya.

Lihat Komen
ADS