Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Protes hari graduasi, siswa laungkan ‘undur VC’ atas pentas
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 4:48 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) melakukan protes berani dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya sejurus selepas menerima skrol ijazah hari ini.

Wong Yan Ke, sambil berjalan turun ke bawah pentas sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Wong berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

“Saya telah membuat keputusan untuk menunjukkan plakard pada majlis konvokesyen hari ini sebagai bantahan sekeras-kerasnya terhadap ucapan naib canselor beberapa hari lalu yang berbau perkauman dan bersifat rasis.

“Mungkin ada di antara kalian hairan, sama ada semua ini berbaloi pada majlis konvokesyen mungkin yang pertama dan terakhir bagi saya, hanya kerana ingin menunjukkan ketidakpuasan,” katanya menerusi kenyataan di halaman Facebook hari ini.

Wong ketika dihubungi Malaysiakini berkata, naib canselor hanya memandang perilakunya sahaja dan sesetengah mahasiswa sudah mula bersorak.

Ada juga mengkritik perbuatan itu.

Plakard yang dipegang Wong tertera gesaan supaya naib canselor itu meletakkan jawatan dengan mendakwa Abdul Rahman menjadi boneka kepada ahli politik, mencabul kebebasan akademik dan gagal menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Jelas Wong, mesej yang disampaikan menerusi protes ini adalah dengan menyedarkan bahawa setiap mahasiswa mempunyai hak untuk mengkritik pemimpin yang didapati tidak berkelayakan dan tidak bertanggungjawab.

“Saya harap protes ini tidak dilihat secara cetek semata-mata. Mesej di belakang keputusan ini adalah apabila mahasiswa atau para pensyarah mendapati seseorang pemimpin itu tidak berkelayakan.

“Maka kita mempunyai hak yang sah untuk mengkritik dan meminta supaya individu tersebut memikul tanggungjawabnya dan memberikan penjelasan kepada kita,” katanya yang merupakan seorang ijazah graduan kejuruteraan.

Wong dalam insiden Mac lalu yang didakwa dikasari pemimpin Umno Lokman Adam

Abdul Rahim dilaporkan berkata dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal.

Pentadbir universiti itu juga memberi peringatan supaya kontrak sosial tidak dicabar.

Pada 7 Oktober lalu, seorang pemimpin kanan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pentadbir universiti itu meletakkan jawatan.

KMUM bagaimanapun tidak sependapat dengan pemimpin nombor dua kesatuan itu.

Untuk rekod, Wong pada 22 Mac lalu pernah menjadi perhatian selepas didakwa dikasari oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.

Kes itu kini telah dibawa ke mahkamah.


Laporan tambahan oleh Lu Wei Hoong

Lihat Komen
ADS