Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Umno dakwa ada usaha tubuh pakatan baru jika Anwar tak jadi PM

Ahli Parlimen Pontian Umno Ahmad Maslan hari ini membuat spekulasi bahawa akan terdapat usaha untuk membentuk gabungan kerajaan baru jika presiden PKR, Anwar Ibrahim gagal menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada akhir tempoh dua tahunnya.

Ahmad, ditanya mengenai sokongan daripada Ahli Parlimen Umno kepada Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang didakwa sedang mengetuai kumpulan bertentangan yang mahu memastikan Anwar tidak menjadi perdana menteri. Beliau pada mulanya meremehkan itu, dengan berkata persoalan berkenaan tidak timbul.

Walau bagaimanapun, beliau kemudian berkata "sesuatu yang sama" boleh berlaku menjelang Mei 2020 jika peralihan dari Mahathir kepada Anwar masih belum jelas.

“Pada saya lepas Muafakat Nasional (pakatan Umno dan PAS) kita lebih bersedia untuk pilihan raya, itu pandangan saya secara peribadi.

“Tetapi jika tidak jelas bahawa peralihan kuasa pada bulan Mei 2020 ada kemungkinan perkara yang seupama ini akan dibangkitkan semula,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Merujuk kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa lalu bahawa perbincangan dalaman Pakatan Harapan mencadangkan Mahathir seharusnya melepaskan jawatannya paling lama dua tahun, Ahmad berkata perdana menteri harus menangani perkara itu.

“Jika tak diberikan pada Anwar, saya melihat kembali kepada usaha-usaha untuk buat coalition baru bagi mewujudkan kerajaan,” katanya.

Ahmad walau bagaimanapun tidak mennyatakan parti mana yang akan terlibat dalam gabungan baru itu.

Selasa lalu, kenyataan sekretariat Pakatan Harapan mendakwa Hishammuddin cuba mempromosikan idea pembentukan sebuah kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah dan menggesa bekas naib presiden Umno itu supaya berhenti berbuat demikian.

Hishammuddin juga menafikan sebarang usaha sedemikian, sambil berkata bahawa beliau hanya adalah ahli Umno biasa.

Mengulas lanjut, Ahmad juga menekankan bahawa Umno dan PAS sebagai blok politik, tidak dapat menerima DAP atau Amanah.

Sementara itu, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Abdullah, yang merupakan antara mereka yang menandatangani kenyataan yang mengaitkan Hishammuddin, enggan mendedahkan lebih banyak maklumat.

"Ia adalah kenyataan sekretariat PH, saya tidak akan mengulas lanjut," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS