Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siswa boleh diambil tindakan, tapi eloknya bukan punitif'

Pihak universiti berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana siswa yang didapati melanggar peraturan ditetapkan mereka, kata Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Raduan Che Rose.

Bercakap kepada media di Kajang hari ini Raduan bagaimanapun berkata hal itu terserah kepada pihak terbabit kerana masing-masing mempunyai hak sendiri.

Beliau yang kemudian dihubungi Malaysiakini untuk mengulas lanjut perkara itu bagaimanapun kurang bersetuju jika tindakan yang diambil pihak universiti bersifat menghukum (punitif).

“Kalau boleh kita nak kenakan tindakan yang lebih mendidik. Contohnya, kita panggil dia dan berbincang," katanya.

Pada masa sama, Raduan menegaskan, tindakan penuntut universiti yang dianggap keterlaluan dan mencemar itu melambangkan bahawa institusi pendidikan dinegara ini gagal menerapkan nilai kesopanan dan kesusilaan dalam diri pelajar.

“Sedikit sebanyak kita juga perlu melihat tanggungjawab kita sebagai institusi yang mendidik pelajar.

“Jika beginilah kualitinya, bermakna kita masih gagal. Bukan UM (Universiti Malaya) sahaja tetapi keseluruhan sistem pendidikan kita,” katanya.

Cuma 'olok-olok' saja

Raduan ditanya mengenai insiden penuntut UM, Wong Yan Ke, yang membuat protes terbuka sejurus selepas menerima skrol ijazahnya di majlis konvokosyen baru-baru ini.

Wong membuka plakad dan melaungkan kata-kata “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia" ketika berjalan turun dari pentas. https://www.malaysiakini.com/news/495810

Mengulas lanjut mengenai isu ijazah kepada siswa tersebut, Raduan berkata, perkara itu tertakluk kepada pertimbangan pihak senat universiti sendiri.

“Selagi belum sampai dianugerahkan (ijazah) secara mutlak, selagi itulah pihak universiti boleh mengaturkan, berdasarkan kepada apa-apa perkara yang dilakukan pelajar itu,” katanya.


Baca Boleh kritik tapi tak perlu tarik balik ijazah, kata Syed Saddiq


Raduan juga mengakui wujud kawasan yang kabur dalam isu berkenaan kerana tidak dapat dipastikan sama ada Wong dianggap sudah menerima ijazahnya secara mutlak atau tidak dengan majlis konvokesyen tersebut.

Biasanya, kata bekas naib canselor Universiti Malaysia Kelantan itu, sesebuah universiti hanya memberikan dummy (olok-olok) saja pada majlis konvokesyen.

Penuntut terbabit, katanya, kemudian perlu mengambil ijazah dan transkrip keputusan masing-masing di pejabat akademik universiti .

“Kena tengok juga dari perspektif perundangan sama ada (pelajar) yang sudah menamatkan pengajian masih tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atau tidak; sama ada dia masih boleh diambil tindakan tatatertib atau tidak kerana tindakan yang boleh diambil hanyalah tandakan tatatertib,” katanya.

Lihat Komen
ADS