Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Dr Mahathir hari ini mengesahkan kerajaan bercadang untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Beliau berkata demikian susulan kelewatan kerajaan dalam membuat keputusan berhubung projek berkenaan dan idea untuk menghidupkan semula projek "jambatan bengkok".

"Kita akan teruskan dengan RTS tetapi kita akan mengambil sedikit masa," katanya ringkas ketika ditanya dalam sidang media hari ini.

Ditanya sekiranya ini bermakna kerajaan telah menyelesaikan pertikaian melibatkan plot tanah di Bukit Chagar, Johor yang dimiliki Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Mahathir enggan memberikan jawapan yang jelas.

"Itu adalah sesuatu yang akan diumumkan kemudian," katanya sambil ketawa kecil.

Sultan Ibrahim sebelum ini sedia menawarkan tanah berkenaan kepada kerajaan tanpa sebarang kos bagi projek itu.

Kerajaan sepatutnya mengumumkan keputusan terhadap projek RTS kepada Singapura pada akhir September ini tetapi melanjutkan tarikh sehingga 31 Okt.

Mei lalu, Singapura bersetuju menangguhkan projek itu tetapi meminta Malaysia membayar RM2 juta sebagai kos penangguhan.

Pada masa itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kelewatan itu membolehkan kerajaan memiliki sedikit masa untuk meneroka alternatif lebih "murah dan mampan" bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang serius di sempadan.

Projek RTS sepanjang 4km menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura melalui jambatan setinggi 25m merentasi Selat Johor.

Loke sebelum ini menganggarkan kos bagi projek itu menelan belanja RM4 bilion.

Lihat Komen
ADS