Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sekumpulan wakil lima NGO hari ini berdemo di hadapan pintu pagar Universiti Malaya (UM) bagi menzahirkan sokongan terhadap Naib Canselor (NC) universiti itu, Dr Abdul Rahim Hashim yang menurut mereka “ditekan” pihak-pihak tertentu untuk meletakkan jawatan.

Ia susulan tindakan seorang graduan UM, Wong Yan Ke melakukan protes terhadap Abdul Rahim selepas menerima skrol ijazah pada hari konvokesyen UM baru-baru ini.

Demonstrasi itu bermula sejurus selepas Solat Jumaat di masjid Ar Rahman berhampiran UM, kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Beberapa wakil NGO dilihat berdiri di belakang trak pikap Toyota Hilux berwarna putih, yang diletakkan betul-betul di sebelah pintu gerbang UM.

Demonstrasi itu menarik perhatian kira-kira 50 jemaah yang keluar dari masjid apabila mereka berhenti seketika untuk mendengar ucapan daripada lima wakil NGO, dengan diperhatikan kira-kira 20 polis dan kira-kira 20 wakil media.

Wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Ahmad Yakcoob, mendakwa tindakan Wong didalangi DAP, yang marah apabila “orang Melayu sudah pandai menuntut” hak mereka.

“Ini perkara-perkara yang kita tahu golongan bukan Melayu marah.

“Saya nak bagitahu, siapa sebenarnya berada di belakang saudara Wong? Pertama! Lim Kit Siang! Hari-hari dia balun NC, hari-hari dia tekan suruh NC jangan ambil tindakan, jangan gantung ijazah dia (Wong).

“Dan Siti Kasim, dan pemuda DAP. Mereka menekan NC agar letak jawatan. Kalau bahasa kasarnya, hangpa ni siapa? Siapa depa ni? Ini maruah UM, yang harus dipertahankan oleh mahasiswa UM. Malu tuan-tuan.

“Sebab tu kita minta mahasiswa UM bangkit mempertahankan maruah NC tuan-tuan sekelian!” katanya ketika menyampaikan ucapannya.

Wong pada 14 Okt lalu melakukan protes apabila melaungkan  “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia” pada hari graduasi di UM.

Dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Dr Abdul Rahim ketika Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

'Tidak ada bangsa Malaysia'

Sementara itu wakil dari NGO Surplus, Sophian Mohd Zain pula mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang mengkritik penganjuran Kongres Maruah Melayu yang menurutnya, tidak sepatutnya dipertikaikan.

“Kita Melayu, kita dilahirkan Melayu, bangsa kita bangsa Melayu. Agama kita agama Islam. Kita dijamin hak kita dalam perlembagaan, dalam Artikel 153. Kita adalah orang Melayu! Apa masalahnya?”

“Kaum rasis ini mempertikaikan Kongres Maruah Melayu. Apa masalah mereka? Apa masalah mereka? 

'(Mereka) Mengatakan Tanah Malaysia. Mana ada Tanah Malaysia! Mana ada bangsa Malaysia! Tidak ada tanah Malaysia, tidak ada bangsa Malaysia. Yang ada hanyalah Tanah Melayu, bangsa Melayu, rakyat Malaysia!” katanya ketika berucap.

Sementara itu, wakil Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa pula mengungkit kejadian pada 2015 di mana seorang mahasiwa digantung pengajiannya kerana berswafoto di atas pentas semasa konvokesyen.

Justeru, katanya, Wong juga tidak harus terkecuali daripada dikenakan tindakan.

“Anak muda ini digantung hanya kerana selfie. Tetapi Wong Yan Ke ini, biadap! Sangat kurang ajar. Jangan dibiarkan.

“Kalau Wong ini dilepaskan, tak diambil tindakan, ini akan menyebabkan ramai lagi anak-anak muda, graduan, (menjadi) biadap dan kurang ajar,” katanya.

Antara yang hadir juga ialah wakil Jaringan Muslim Pulau Pinang Azmi Jaafar, dan presiden GPMS, Alif Anas Md Noor.

Bercakap kepada pemberita selepas semua wakil selesai berucap, Alif Anas mengingatkan bahawa penganjur bukan rasis, tetapi tidak menerima perlakuan biadab dan tidak menghormati kebebasan akademik.

“Kami di GPMS tidak kira penjahat itu Cina, Melayu atau India, sekiranya biadab dalam satu-satu majlis seperti konvokesyen ini perlulah diambil tindakan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

“Kita hari ini bukan membawa isu rasis, tetapi isu biadab yang ditonjolkan,” katanya sambil membaca memorandum.

Tambahnya lagi, NC ialah ahli akademik yang mempunyai kebebasan untuk menyatakan pendapat mengenai apa-apa jua isu selagi berada dalam ruang lingkup undang-undang.

Kira-kira jam 2 petang, selepas menyampaikan ucapan masing-masing, wakil-wakil NGO itu cuba melepasi pintu pagar UM untuk menyerahkan memorandum sokongan kepada pejabat NC, bagaimanapun, niat mereka dihalang oleh pihak polis yang menutup pintu pagar.

Pada waktu mereka berunding dengan pihak polis, kenderaan-kenderaan lain juga tidak dibenarkan masuk ke UM, menyebabkan beberapa penunggang motosikal didengar menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap mereka.

Hanya pada jam 2.26 petang, seorang wakil yang merupakan Pengerusi Neo-Siwa UM, Mohamad Ilman Hakim Zainal Abidin, dibenarkan masuk untuk menyerahkan memorandum kepada wakil pegawai keselamatan , Khairul Anuar Abu Shari.

Selepas memorandum berjaya diserahkan, barulah pintu pagar dibuka semula sepenuhnya.

Lihat Komen
ADS