Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid Orang Asli sekolah asrama penuh ditahan di hospital 5 hari akibat buli

Seorang murid Orang Asli di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan ditempatkan di hospital selama lima hari selepas trauma akibat dibuli secara berterusan oleh pelajar senior, menurut polis.

Berdasarkan siasatan awal polis, remaja berusia 13 tahun itu menjadi mangsa buli selepas mendaftar sebagai pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains Rembau awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Rembau Anuar Bakri Abdul Salam, berkata keluarga mangsa mengetahui tentang perkara itu ketika bapanya berkunjung ke sekolah pada Awal Ogos.

"Kami dapati kes buli melibatkan pelajar senior terhadap mangsa berusia 13 tahun bermula sejak awal tahun dan hanya dikesan bapa mangsa apabila dia melawat anaknya awal Ogos.

"Pada 29 Ogos, mangsa dibawa keluarga ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban di mana dia ditahan di wad selama lima hari untuk pemeriksaan kesihatan.

"Pemeriksaan tidak menunjukkan kecederaan fizikal tetapi mangsa trauma," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Anuar, polis mendapat maklumat berkenaan kes itu daripada orang awam minggu lalu.

Keluarga mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan polis.

Mereka telah membawa mangsa pulang ke kampung halaman di Perak.

Difahamkan pelajar senior antara lain memaksa mangsa membeli makanan dan membasuh baju mereka.

Anuar berkata, keluarga telah membuat laporan rasmi kepada sekolah dan menyerahkan perkara itu kepada pentadbiran sekolah.

Pada 4 Oktober lalu, ibu bapa mangsa turut membuat permohonan rasmi bagi memindahkan anak mereka daripada sekolah itu tetapi belum menerima sebarang keputusan.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pendidikan dan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh kementerian itu untuk maklum balas berkenaan kes itu.

Lihat Komen
ADS