Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Walau ancaman boikot sawit, Dr M tak akan tarik balik kenyataan isu Kashmir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataannya tentang bagaimana India mengendalikan konflik di Kashmir dan Jammu, walaupun dengan ancaman negara itu untuk memboikot minyak sawit negara.

"Kita bercakap secara terus-terang (speak our mind) dan tidak menarik balik atau mengubah (kenyataan)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau ditanya sama ada akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat di Perhimpunan Agung PBB bulan lalu yang menggesa India mematuhi resolusi PBB berkenaan wilayah itu.

Kenyataan itu membangkitkan kemarahan di India.

"Walaupun dengan resolusi PBB berkenaan Jammu dan Kashmir, ia telah diceroboh dan dijajah. Mungkin ada sebab untuk tindakan itu tetapi ia tetap salah.

"Masalah perlu diselesaikan secara aman. India perlu bekerja bersama Pakistan untuk menyelesaikannya. Mengabaikan resolusi PBB akan membawa kepada pengabaian bentuk lain terhadap PBB dan kedaulatan undang-undang," katanya ketika itu.

Sekian lama PBB menggesa agar tentera yang ditempatkan di wilayah yang menjadi pertikaian itu dengan jumlah minimum, tetapi India pada Ogos lalu memansuhkan status autonomi di bahagian Kashmir yang ditadbirnya.

Negara itu kemudian meletakkan puluhan ribu tentera di kawasan itu untuk mengelakkan reaksi balas daripada masyarakat di sana yang majoritinya beragama Islam.

India dan Pakistan menuntut kawalan penuh di Kashmir dan Jammu dan kini masing-masing menguasai sebahagian daripada wilayah itu.

Kata Mahathir, gesaannya berkenaan pematuhan kepada PBB bukan ditujukan kepada India sahaja.

"Apa yang kita katakan ialah kita semua patut patuh. Bukan India dan Pakistan sahaja, tetapi Amerika Syarikat dan negara lain pun patut patuh kepada resolusi PBB.

"Jika tidak apa kebaikannya ada PBB?" katanya lagi.

Minggu lalu, Reuters melaporkan syarikat penapisan di India telah berhenti membeli minyak sawit Malaysia susulan kemungkinan kerajaan India akan mengenakan beberapa langkah, termasuk menaikkan cukai import.

Setakat ini kerajaan negara itu belum membuat apa-apa pengumuman rasmi.

Bagaimanapun Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai semalam menggesa boikot terhadap minyak sawit Malaysia.

Mahathir berkata lagi, Malaysia sebagai negara dagang harus sentiasa cuba mengekalkan hubungan baik namun tetap perlu bersuara apabila perlu.

"Ada kala kita terpaksa berdepan hubungan tegang tetapi kita mahu baik dengan (pihak lain). Malaysia negara dagang, kita perlukan pasaran, jadi kita bersikap baik dengan orang lain tetapi ada kala kita perlu bersuara.

"Apa yang kita kata disukai oleh sesetengah orang, tidak disukai oleh sesetengah yang lain," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS