Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: M'sia tangani secara diplomasi jika India boikot sawit

Kerajaan akan mengendalikan isu rancangan India untuk melarang import minyak sawit dari Malaysia secara diplomasi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun beliau berkata belum mendapat sebarang makluman rasmi berkenaan perkara itu.

“Kita belum dapat apa-apa secara rasmi. Ini reaksi orang peniaga , tidak boleh respons ikut keputusan peribadi.

“Jika kerajaan (India) lancarkan boikot atau perkara sebegitu, kita akan berurusan secara diplomatik untuk mengurangkan perkara tersebut,” katanya ketika sidang media selepas forum Yayasan Sejahtera 2019, sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 14 Oktober lalu, Reuters melaporkan syarikat penapisan dari India sudah berhenti membeli minyak sawit Malaysia untuk penghantaran pada November dan Disember ini.

Ia kerana kebimbangan syarikat itu berhubung kemungkinan kerajaan India akan menaikkan cukai import atau mengambil langkah untuk mengurangkan import daripada negara-negara Asia Tenggara.

Menurut laporan itu lagi, India sedang menimbang untuk mengehadkan import sejumlah produk Malaysia selepas kritikan kerajaan terhadap tindakannya di Kashmir.

India merupakan pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia, dengan kira-kira 150,000 tan sebulan.

Terdahulu, kerajaan India dilaporkan kecewa dengan kenyataan Mahathir di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bulan lalu, yang antara lain menyifatkan negara itu ‘menceroboh dan menduduki’ Jammu dan Kashmir.

Lihat Komen
ADS