Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Masalah umat Islam kini terlalu tumpu aspek luaran, ritual dalam beragama'

Obsesi terhadap aspek luaran dalam beragama serta penumpuan terhadap kehidupan selepas mati sahaja telah membantutkan kemajuan tamadun Islam, kata ahli akademik Indonesia Prof Yudi Latif.

Yudi membandingkan perbezaan pendekatan ramai umat Islam zaman kini dengan di saat banyak tamadun Islam sepanjang sejarah.

Menurutnya, umat Islam zaman lalu menjadi kuat dengan belajar daripada budaya lain manakala orang Islam sekarang, termasuk di Indonesia, terlalu menekankan aspek luaran iaitu formaliti, ritual dan simbolisme.

"Saya kira etos (aspirasi dan ciri) yang berkembang di dunia Islam hari ini terlalu menekankan kepada aspek luaran...Kita selalu riuh dengan formalisme keagamaan (misalnya) cara berpakaian," katanya ketika berucap dalam program Wacana Ilmiah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Menurutnya, penekanan hal-hal luaran turut menyebabkan umat Islam lemah dalam aspek dalaman atau kerohanian (spirituality).

"(Akibatnya) kita cenderung terjebak dalam 'superiority complex' dan hilang kemampuan menyerap dan belajar daripada tamadun lain. (Kemampuan) itu pernah menjadi kekuatan Islam yang laur biasa.

"Salah satu kehilangan terbesar Islam hari ini ialah kemampuan untuk mengambil hikmah dari mana-mana pun," katanya lagi.

Satu lagi masalah yang dihadapi ramai umat Islam hari ini ialah gagal mencapai keseimbangan antara menjalani kehidupan yang baik dengan mengejar akhirat.

"Sekarang minda orang Islam terlalu menekankan syurga selepas mati, terlalu menekankan satu-satunya 'penyelamat' (salvation) yang perlu dicapai adalah dalam kehidupan selepas mati.

"(Sehinggakan) ekonomi seolah-olah hal kotor. Orang Islam sekarang merasakan mereka seperti tiada kaitan dengan ekonomi...Cuma fokus bagaimana untuk mendapatkan syurga," kata Yudi lagi.

Katanya, pemikiran itu bertentangan dengan ketika kedatangan Islam yang antara lain memecahkan amalan agama Kristian ketika itu yang memisahkan agama dengan hal-hal duniawi.

"Sebelumnya di Eropah, gereja memisahkan agama dengan ekonomi. Islam menyatakan agama dan ekonomi tidak terpisah, dan tautan yang melengkapi," katanya.

Untuk mengubah perkara itu, beliau berkata perubahan teologi besar-besaran perlu dilakukan bahawa kehidupan di dunia juga penting seperti kehidupan di akhirat.

Ketika sesi soal jawab, pensyarah undang-undang UIAM Prof Madya Sonny Zulhuda membangkitkan kelemahan dalam hujah Yudi berkenaan Muslim "terlalu obses" dengan matlamat mencapai syurga hingga mengabaikan dunia.

Menurut Sonny, umat Islam pastinya mahu mencapai syurga tetapi ia tidak semestinya membuatkan mereka gagal maju dalam bidang lain.

Yudi bagaimanapun menegaskan masalah utama ialah dengan pemisahan agama dengan hal-hal lain.

Presiden PKR menyampaikan ucaptama dalam program itu.

Turut hadir ialah Prof Osman Bakar dari Istac, Prof Madya Khairuddin Aljunied dari National University of Singapore dan Senator Yusmadi Yusoff.

Lihat Komen
ADS