Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Perbicaraan Najib Razak berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana 1MDB memasuki hari ke-27 hari ini.

Bekas perdana menteri itu dibicarakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Pihak pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, manakala pasukan pembelaan Najib diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Saksi kesembilan pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, akan menyambung keterangannya. Beliau ialah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB.

LANGSUNG

1 petang: Perbicaraan ditangguhkan lebih awal hari ini kerana hakim mempunyai urusan lain.

Sebelum Sequerah menamatkan perbicaraan bagi hari ini, Shafee memberitahu mahkamah beliau perlu hadir untuk kes rayuan di Mahkamah Persekutuan esok.

Sequerah kemudian membenarkan agar perbicaraan esok dimulakan pada jam 2.30 petang, dan bukan 9.30 pagi.


12.30 tengah hari: Mahkamah diberitahu, pada Mac 2010 Lembaga Pengarah 1MDB bersetuju meminjamkan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd (PSI Cayman) tambahan AS$1.5 bilion untuk digunakan dalam projek usahasama mereka.

Kelulusan itu, kata saksi, diberikan ketika PSI Cayman tidak mampu melunaskan bayaran balik sebanyak AS$1.2 bilion kepada 1MDB apabila tiada lagi usahasama di antara mereka beberapa bulan sebelum itu.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata lembaga pengarah syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia itu meluluskan permohonan pinjaman tersebut melalui resolusi pekeliling bertarikh 22 Mac 2010.

Ditanya Shafee sama ada ia masuk akal atau tidak, Shahrol berkata dia tidak banyak menyoalnya ketika itu kerana usahasama tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian kerajaan dengan kerajaan.

"Sekarang, dengan segala apa yang berlaku, ia tidak masuk akal," katanya.


12.08 tengah hari: Pengarah PetroSaudi International, Tarek Obaid dan Patrick Mahoney menghalang cubaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, untuk memeriksa sama ada seluruh AS$1 bilion dana diserahkan kepada projek usahasama firma pelaburan kerajaan Malaysia itu dengan PetroSaudi.

Saksi kesembilan pendakwaan itu memberitahu mahkamah hal berkenaan semasa disoal balas Shafee.

Shafee: Adakah kamu boleh memeriksa wang itu pergi sama ada kepada PSI (PetroSaudi International) atau syarikat usahasama (1MDB-PetroSaudi)?

Shahrol: Tidak. Kami pernah cuba mendapatkan akaun untuk syarikat usahasama 1MDB tapi tak dapat. Kami dihalang oleh Patrick Mahoney dan (Tarek) Obaid.

Shafee: Bila berlaku halangan itu?

Shahrol: Antara penghujung 2009 dan awal 2010, sebelum perjanjian Murabaha.

Shafee: Kamu dulu adalah pengarah (1MDB). Adakah kamu dihalang secara fizikal?

Shahrol: Kami mengemukakan permohonan melalui e-mel tetapi banyak alasan diberi dan maklumat tidak disediakan. Saya mencuba melalui Jho (Low) yang akhirnya membawa kepada cadangan nota-nota Murabaha.


12 tengah hari: Pengasas bersama starikat Petrosaudi International, Tarek Obaid, berkongsi sebahagian daripada komisyen AS$85 juta yang diterimanya dengan seorang rakan.

Berdasarkan dokumen yang diserahkan kepada mahkamah, Tarek memindahkan AS$33 juta daripada wang tersebut kepada satu akaun bank milik Pengarah PetroSaudi, Patrick Mahoney, pada 20 Okt 2009.

Tarikh itu adalah kira-kira dua minggu selepas Tarek menerima AS$85 juta daripada Good Star yang sebelum itu menerima dana AS$700 juta daripada 1MDB.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kemudian bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa tindakan itu menunjukkan Tarek mengagihkan wang diterimanya daripada Good Star dengan Mahoney.

Shafee: Jadi, dia (Tarek) dapat AS$85 juta, kemudian dia berkongsi dengan Patrick (Mahoney) AS$33juta?

Shahrol: Ya.

Shafee: (Nampaknya) Krismas datang sedikit awal pada tahun itu.

Shahrol bagaimanapun memberitahu, dia tidak tahu apa-apa mengenai bayaran diterima Tarek dan Mahoney.


11.47 pagi: Pengarah PetroSaudi International, Tarek Obaid, dibayar sebanyak AS$85 juta daripada AS$700 juta wang yang diambil daripada usahasama 1MDB-PetroSaudi sebagai komisyen perjanjian tersebut, kata saksi.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberitahu mahkamah hal berkenaan selepas ditunjukkan penyata bank JP Morgan oleh ketua peguam bela Najib.

Shafee (membaca penyata bank): Tarek Obaid dibayar AS$85 juta daripada AS$700 juta sebagai komisyen oleh pelanggan untuk perjanjian JV (usahasama) berkenaan?

Shahrol: Ya. JV itu adalah perjanjian 1MDB-PetroSaudi.

Shafee: Sebeanyak AS$700 juta wang kita ke sana, AS$85 juta untuk Tarek Obaid sebagai komisyen?

Shahrol: Ya.

Shafee: Adakah ini komisyen bona fide (sah) atau kecurian yang nyata?

Shahrol: Tak ada maklumat mencukupi untuk menentukannya.

Shahrol kemudian bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa AS$85 juta itu melebihi 10 peratus daripada jumlah dana bernilai AS$700 juta tersebut dan agak tinggi untuk dianggap sebagai komisyen bagi perjanjian yang ditandatangani.

Shahrol juga bersetuju terhadap saranan Shafee bahawa dia tidak dimaklumkan oleh Tarek mengenai bayaran tersebut yang mungkin ada konflik kepentingan bagi pihak Tarek.


11.39 pagi: Perbicaraan hari ini bermula dengan Shafee menunjukkan saksi satu penyata akaun milik syarikat Good Star Ltd, iaitu syarikat dimiliki Jho Low.

Menurut Shafee berdasarkan penyata bank RBS Coutts itu menunjukkan Good Star tidak mempunyai baki dalam akaunnya pada 12 Jun 2009 sebelum dana AS$700 juta dimasukkan pada 30 Sept tahun yang sama.

Sebelum ini mahkamah diberitahu tarikh tersebut adalah waktu 1MDB membuat bayaran AS$700 juta kepada akaun ke akaun di RBS Coutts untuk bayaran kepada syarikat PetroSaudi International.

Shahrol kemudian ditunjukkan satu penyata akaun bank miliki Tarek Obaid di JP Morgan yang memaparkan pengasas bersama PetroSaudi International itu menerima AS$85 juta daripada PetroSaudi.

Pemindahan wang daripada Good Star kepada Tarek berlaku pada 5 Okt 2009, iaitu lima hari selepas Good Star menerima wang 1MDB.


11.26 pagi: Tertuduh, Najib Razak, memasuki kandang tertuduh. Perbicaraan akan bermula tidak lama lagi.

Lihat Komen
ADS