Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin nafi tahanan Sosma diseksa, akan siasat

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diseksa ketika dalam tahanan.

Bagaimanapun beliau berkata polis akan tetap menyiasat dakwaan itu dan menggesa tahanan yang merasakan ada tindakan polis yang bertentangan dengan undang-undang, untuk membuat laporan.

"Saya semak dengan IGP (Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador) dan pegawai yang terlibat, mereka kata itu tidak benar.

"Ini kerana apabila mereka (tahanan) dibawa keluar dengan peguam, tiada yang membuat aduan kata dipukul.

"Tetapi apa-apa pun saya tidak boleh terima bulat-bulat, kita akan buat siasatan (terhadap dakwaan tahanan diseksa)," katanya ketika sidang media selepas penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian, hari ini.

Semalam lima daripada 12 suspek mendakwa diri mereka diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa ditahan.

Antaranya B Subramaniam yang menurut peguamnya, S Selvam, telah dipaksa untuk mengaku 'saya anggota LTTE' dan diugut akan dipenjara seumur hidup jikta tidak berbuat demikian.

Sementara itu, peguam MV Yoges yang mewakili Kalaimughilan, berkata anak guamnya dikurung dalam bilik gelap berasingan dan dia tidak dapat berhubungan dengan orang lain.


Baca‘Saya kena seksa, dipaksa mengaku anggota LTTE’


Yoges mendakwa bilik kurungan itu tidak mematuhi peraturan-peraturan penjara di mana tahanan tidak disediakan dengan katil dan bantal. Tandasnya pula tersumbat dan penuh dengan nyamuk, tikus serta lipas.

Susulan dakwaan itu, Suaram menggesa Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan isu itu dan Muhyiddin perlu meletakkan jawatan jika gagal berbuat demikian.

Mengulas gesaan itu, Muhyiddin mengakui beliau bertanggungjawab tetapi siasatan perlu dibuat terlebih dahulu memandangkan ia tuduhan yang berat.

Ya saya bertanggungjawab, tetapi jangan ambil tindakan hanya dengan satu atau dua orang berkata begitu, dan kita buat andaian.

"Saya tidak pandang ringan (dakwaan seksaan). Pihak IGP akan buat siasatan," katanya lagi.

'DAP tiada kaitan'

Sementara itu, Muhyiddin menafikan wujudnya "deep state" yang menyasarkan DAP dalam isu LTTE.

"Tiada kaitan dengan DAP, kebetulan (yang ditahan) ialah pemimpin atau ahli parti itu.

"Sama seperti parti lain - kalau ada individu yang melakukan sesuatu, kita tidak boleh tuduh parti," katanya.

Beliau ditanya berkenaan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang antara lain berkenaan persoalan yang dibangkitkan sejumlah parti itu berkenaan apa yang dilihat sebagai cubaan pihak berkuasa menyasarkan DAP.

"Soalan sama yang kekal tidak dijawab ialah mengapa tindakan diambil terhadap wakil rakyat DAP oleh kerajaan semasa untuk dakwaan kesalahan yang dibuat sebelum 2018, apabila kerajaan BN tidak mengambil tindakan serupa terhadap mereka," katanya.

Lim berkata soal itu dibangkitkan dalam mesyuarat wakil rakyat parti itu pada 31 Oktober lalu.

Antara yang ditahan di bawah Sosma dalam siasatan polis terhadap isu LTTE ialah dua adun DAP, iaitu G Saminathan (Gadek) and P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan seorang anggota parti itu, V Suresh Kumar.

Lihat Komen
ADS