Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua biskop tuding jari pada pemaju isu kewarganegaraan Jho Low
Diterbitkan:  Nov 5, 2019 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Ketua gereja Kristian Ortodoks Cyprus dilaporkan menjauhkan diri dari kontroversi pemberian kewarganegaraan kepada Jho Low.

Cyprus Mail, yang memetik laporan Cyprus Broadcasting Corporation (CyBC), memetik Ketua Biskop Chrysostomos II yang menafikan dirinya mempunyai kepentingan peribadi untuk mengesyorkan agar Jho Low berikan kewarganegaraan pada September 2015.

Ketua biskop itu berkata suratnya kepada Menteri Dalam Negeri Cyprus Socrates Hasicos ditulis atas permintaan pemaju swasta.

"Dia (pemaju) memberitahu kami dia (Jho Low) membina rumah-rumah di tanah yang dibeli dari kami [gereja]," kata Chrysostomos.

Untuk memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Rancangan Pelaburan Cyprus yang disokong oleh kerajaan, akhbar harian Politis Cyprus pada hari Ahad melaporkan bahawa Jho Low membeli sebuah vila yang belum siap bernilai lima juta euro (RM23 juta) di Aya Napia pada 23 September 2015.

Dalam laporan muka hadapan semalam, Politis mempersoalkan peranan Chrysostomos dalam memberi kewarganegaraan kepada Jho Low.

Laporan itu juga mendakwa ketau biskop itu memaklumkan Hasicos bahawa Jho Low (gambar) akan berada di Cyprus pada 18 Sept dan boleh boleh hadir mesyuarat untuk membincangkan potensi pelaburan di tanah gereja.

Hasicos semalam menggesa kewarganegaraan Jho Low ditarik semula jika terbukti bahawa ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu telah melakukan jenayah.

Menulis di Twitter, Hasicos berkata apabila kelulusan memberikan kewarganegaraan diberikan pada masa itu, polis Cyprus memberitahunya bahawa Jho Low tidak mempunyai rekod jenayah.

Mengulas lebih lanjut, Chrysostomos memberitahu CyBC bahawa pemaju memberinya tiga nama untuk disyorkan kewarganegaraan dan gereja tidak maklum individu mana yang mendapat kewarganegaraan.

Chrysostomos juga mengatakan bahawa tanggungjawab untuk memberi kewarganegaraan terletak pada pihak berkuasa negeri, walaupun gereja dapat mengesyorkan individu tertentu.

"Ia dilakukan demi kebaikan Cyprus. Bukan kami (gereja) yang putuskan untuk beri kewarganegaraan, kami cuma minta," katanya lagi.

Ketua biskop itu mendedahkan bahawa Jho Low juga mendermakan 300,000 euro (RM1.38 juta) kepada sebuah sekolah teologi semasa lawatannya ke Cyprus.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) percaya bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah disalahgunakan dari 1MDB dan kini sedang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana berkenaan.

Bekas perdana menteri Najib Razak sedang menghadapi perbicaraan berhubung skandal berkenaan sementara Jho Low masih dalam buruan pihak berkuasa.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS