Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agensi pelancongan saman Azmin RM329k tuntut hutang perjalanan

Sebuah agensi pelancongan memfailkan saman terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayar.

Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat Malaysiakini, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd berkata Azmin berhutang bagi perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.

Firma itu berkata ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

"Selanjutnya, defendan dan/atau wakilnya yang diberi kuasa juga akan membuat pembayaran sebelum umrah dan/atau haji atau sebelum tempoh hari raya terdekat.

"Bagaimanapun, dalam hal ini, pembayaran telah tertunggak untuk jangka masa yang lebih lama daripada jangka masa yang disebutkan di atas," kata firma tersebut.

Firma itu berkata ia telah menguruskan perjalanan Azmin selama 20 tahun, di mana kedua-dua pihak tidak pernah ada pertikaian.

Pada bulan Ogos dan September lalu, firma itu mengeluarkan dua surat tuntutan kepada Azmin untuk jumlah tersebut, tetapi tidak ada bayaran dibuat dan oleh itu plaintif menyatakan ia mengalami kerugian dan kerosakan.

Writ saman YHA Travel & Tours' difailkan firma guaman Tetuan Fong Yap & Gan.

Antara lain, kenyataan tuntutan pihak agensi pelancongan itu berkata plaintif telah menyediakan tiket penerbangan untuk percutian akhir tahun keluarga Azmin di Maghribi dan lawatannya semalaman pada Mei ke Sandakan, Sabah.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Azmin untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS