Jika semalam barisan pemimpin pembangkang berjual beli pantun dalam ceramah mereka di Tanjung Piai, hari ini Anggota Parlimen Bukit Mertajam pula menyampaikan beberapa rangkap pantun.
Walaupun tidak berkait secara langsung dengan sesi ceramah anjuran BN semalam, pantun dikirimkan timbalan menteri belia dan sukan di laman Facebook itu dipercayai ditujukan kepada Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Ia dipercayai berhubung keghairahan Ahmad Fadhli menawarkan diri untuk menggantikan tempat Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menyahut cabaran berdebat dengan Steven.
Steven sebelum ini mempelawa Tuan Ibrahim berdebat dengannya selepas anggota parlimen Kubang Kerian itu mendakwa Lim Guan Eng dalam Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada 3 November lalu menghasut orang bukan Islam dengan melemparkan fitnah jahat terhadap PAS.
Dalam kirimannya di Facebook hari ini, Steven seakan memerli Ahmad Fadhli yang menawarkan diri untuk berdebat dengannya walaupun undangan tersebut pada asalnya ditujukan kepada Tuan Ibrahim.
Yang dipinang lenyap,
Yang lain ditawar ganti;
Yang diajak senyap,
Yang tak ajak menawar diri.
Yang dipalu tak bunyi,
Yang ditendang menyalak pula;
Yang diajak tak sudi,
Yang tak ajak mengajak pula.
Ahmad Fadhli dalam kenyataan semalam berkata Steven tidak layak mencabar Timbalan Presiden PAS untuk berdebat kerana menganggap perbezaan hierarki serta umur yang agak jauh antara mereka berdua.

“Apatah lagi dipisahkan dengan usia yang jauh berbeza, kelihatan pelawaan YB Sim Chee Keong lebih bersifat lawak jenaka semata-mata.
“Saya dengan rendah diri menawarkan untuk berdebat dengan YB Sim Chee Keong di hadapan rakyat Malaysia pada mana-mana pentas bebas yang boleh dirancang selepas ini,” katanya.
Membalas keghairahan ahli parlimen Pasir Mas itu, Steven turut memberikan dua lagi rangkap pantun bagi menjelaskan maksud pelawaan sebenar debat itu.pada
Yang dinyala tak berapi,
Yang tak nyala berasap-asap;
Yang diajak sunyi sepi,
Yang tak ajak sibuk nak cakap.
Yang dijemput tak ke mari,
Yang kemari tak diundang;
Yang diajak tak berani,
Yang tak ajak keriau kecundang.
Kiriman Steven di laman Facebook itu turut menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Salah seorang pengguna Facebook, Ahmad Kamil memberi komen "Tuan Ibrahim tak berani debat".
Seorang lagi pengguna media sosial itu, Hayzee Mark bagaimanapun memberi reaksi berbeza apabila meninggalkan komen "Kalau anak jantan, kalau betul pergi jelah berdebat dengan PAS. PAS dah on tu atau kamu akan dipandang sebagai pengecut?".
