Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerancakkan ceramah perdana BN bagi kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai malam semalam gamat dengan hampir setiap pemimpin tertinggi yang hadir membeli dan menjual pantun masing-masing.

Pesta berkenaan dimulakan dengan Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah selaku pengacara majlis menyampaikan serangkap pantun bagi pihak Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan.

“Datuk Ahmad Maslan sudah datang, dia tak boleh berucap tapi bila dia tak boleh berucap dia bagi pantun tuan-tuan,” katanya.

“Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan,
Jika tidak mahu kena kencing,
Jangan undi Pakatan Harapan.”

“Ini pantun yang digunakan oleh Tok Mat (Ahmad Maslan) sudah satu juta orang tengok pantun ini (di YouTube),” katanya yang disambut gelak ketawa dan tepukan gemuruh hadirin.

Dua ribu hadirin

Ceramah di Kampung Rimba Terjun Pontian itu menyaksikan seramai dua ribu penyokong BN dari seluruh negara yang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa hadir.

Pada PRK Tanjung Piai 16 Nov ini, BN diwakili oleh MCA Wee Jeck Seng.

Presiden parti itu, Wee Ka Siong yang turut hadir tidak ketinggalan dalam menyampaikan serangkap pantun bagi memeriahkan acara.

“Sebagai anak kampung Melayu, (pantun Ahmad Maslan) wajib saya jawab,” katanya.

“Tanjung Piai indah dan permai,
Dari Pekan Nenas sampai ke Kukup
Sambutan rakyat cukup ramai,
Kali ini Pakatan Harapan pasti lingkup.

Terima kasih daun keladi,
Kalau ada undi bagi lagi.”

Ini disambut dengan tepukan gemuruh dan penonton mula bersorak meminta setiap pemimpin yang berucap turut menyampaikan pantun mereka.

Setelah tiba giliran Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengambil pentas, beliau juga tidak ketinggalan menghadiahkan beberapa rangkap pantun dalam sesi ceramahnya itu.

“Dari Pagoh pergi Seremban,
Terus berlayar ke Pulau Manis,
Kamu tuduh kami Taliban,
Di belakang kamu ada komunis.”

Walaupun tidak menyebut secara khusus, Abdul Hadi dipercayai menjawab dakwaan beberapa pihak yang menyifatkan gabungan PAS dan Umno adalah satu usaha Taliban.

Pantun anak muda

Setelah berceramah selama tujuh minit, presiden PAS itu mengakhiri ucapannya dengan membacakan dua rangkap pantun yang dikatakan “dijual oleh anak muda”.

“Saya tidak mahu ucap panjang, ada anak muda beri hadiah pantun pada saya,” katanya.

Berikut pantun itu.

“Dari Sabah pergi Segamat,
Menuju ke arah Tanjung Piai,
Jangan berbalah sampai kiamat,
Nescaya hidup terabai.

Singgah Johor mencari nenas,
Buat makan berbuka puasa,
Jangan pandang kaca dan emas,
Jalan muafakat berbudi bahasa. 

Hadi kemudian dengan nada gembira terus menjawab pantun tersebut.

“Ikan siakap dalam baldi,
Makan bersama burung punai,
Jangan silap pangkah undi,
Janji manifesto tak tertunai. 

Tanjung Piai sampai ke Dumai,
Saya di sana naik kereta,
Keluar mengundi ramai-ramai,
Undi MCA kawan kita.

Acara pesta tersebut berakhir seiring dengan ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Datuk Jefridin anak Haji Atan,
Datuk Hasni berwajah tenang,
Tanjung Piai tolak Pakatan,
Barisan Nasional Insya-Allah menang.”

Tanjung Piat BN dapat

Setelah itu, dilihat Ahmad Maslan cuba mencuit Ahmad Zahid di atas pentas bagi menyampaikan pantun buat pihaknya lagi.

“Ini ada pantun dari Mat GST (Ahmad Maslan) kita, mahu saya sampaikan,” katanya.

“Siji Loro Telu Papat
Tanjung Piai kita dapat.

“Apa jenis pantun orang Pontian ini,” kata Ahmad Zahid yang kemudian dihiasi tawa riang dan tepukan gemuruh penyokong.

Untuk makluman, Siji Loro Telu Papat bermaksud kiraan nombor dari satu hingga empat dalam bahasa Jawa.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Ia menyaksikan pertembungan enam penjuru. Selain calon MCA yang dipertaruhkan, BN akan bersaing dengan PH yng diwakili oleh Karmaine Sardini dari Bersatu serta calon dari Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Badhrulhisham Abdul Aziz , Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan tempoh kempen selama 14 hari dengan tarikh mengundi pada 16 November manakala 12 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Lihat Komen
ADS