Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Perak masih kukuh walaupun mungkin ada "sedikit sebanyak" masalah antara parti komponen, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Justeru beliau berkata Zahid Hamidi hanya mampu berharap untuk pembangkang merampas pentadbiran negeri itu sebelum PRU ke-15.

"Dia punya harapan tapi saya yakin PH di Perak masih kukuh, walaupun biasalah ada sedikit sebanyak masalah dari segi hubungan dalam komponen PH.

"Saya tak boleh nafikan (masalah) tetapi yang diutamakan ialah kerjasama untuk pastikan kerajaan mantap dan stabil," katanya ketika sidang media di Pontian, Johor hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Zahid yang menyebut tentang kemungkinan itu memandangkan BN hanya kekurangan dua kerusi berbanding PH di DUN Perak.

Ia susulan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa 'berseorangan melawan puak DAP', seperti dalam rakaman video yang tular semalam.

“Bagi saya itu masalah mereka, yang penting bahawa di Perak kita cuma kekurangan dua kerusi saja.

“Dua itu pun telah 'menyimpang' dan saya harap kita tidak perlu menunggu hingga PRU ke-15 lah (untuk rampas Perak),” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra di Pekan Kukup hari ini.

Pada PRU ke-14, BN (Umno) memenangi 27 daripada 59 kerusi tersebut. Manakala, Perak yang ditadbir PH mempunyai sebanyak 30 kerusi. Daripada jumlah itu, Amanah mempunyai 6 kerusi, Bersatu (2), PKR (4) dan DAP (18).

Semalam Muhyiddin berkata kenyataan Faizal tersebut mungkin pengalaman peribadinya di Perak, dan menyifatkan DAP tetap rakan penting dalam kerajaan negeri itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri mendakwa keadaan pembangkang juga bukanlah tanpa sebarang masalah.

"Dalam BN pun haru-biru juga. Kerjasama antara PAS dan Umno pun tak tau apa cerita. Mereka buat Muafakat Nasional tetapi ambil calon MCA (untuk PRK Tanjung Piai).

"Kami serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian, kita akan jalankan tadbir urus yang baik," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS