Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK TG PIAI | Mengulas isu melibatkan Menteri Besar Perak Faizal Azumu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berharap dapat merampas kerajaan negeri Perak sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video tular memaparkan Faizal mendakwa 'berseorangan melawan puak DAP'.

“Bagi saya itu masalah mereka, yang penting bahawa di Perak kita cuma kekurangan dua kerusi saja.

“Dua itu pun telah 'menyimpang' dan saya harap kita tidak perlu menunggu hingga PRU ke-15 lah (untuk rampas Perak),” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra di Pekan Kukup hari ini.

Pada PRU ke-14, BN (Umno) memenangi 27 daripada 59 kerusi tersebut.

Manakala, Perak yang ditadbir PH mempunyai sebanyak 30 kerusi. Daripada jumlah itu, Amanah mempunyai 6 kerusi, Bersatu (2), PKR (4) dan DAP (18).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Anggota Parlimen Bagan Datuk berpendapat isu tersebut timbul kerana DAP tidak memberi dorongan kepada Faizal.

“Masalah yang ada dalam negeri saya itu adalah kerana DAP yang tak beri sokongan kepada MB (menteri besar) Perak.

“Kita tahu mereka mempunyai calon orang Melayu yang didatangkan untuk menjadi MB di situ,” katanya.

Dalam klip video tular, Faizal dipaparkan dalam satu pertemuan tidak rasmi dengan beberapa individu, termasuk calan PH bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Faizal antara lain bercakap tentang keseorangan dalam berdepan dengan DAP di Perak.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini. Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita.

"Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah... kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya," katanya.

Faizal juga berkata dia tidak duduk bersama menteri ketika hari penamaan calon PRK Tanjung Piai sebaliknya bersama Umno.

Dalam reaksinya, Faizal berkata rakaman itu diambil di luar konteks dan tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.

Lihat Komen
ADS