Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu enggan memohon maaf atas kenyataannya yang mencetuskan bantahan daripada pemimpin DAP dan PKR negeri.

"Adakah saya bercakap apa-apa yang salah?" Kata Ahmad Faizal kepada wartawan di Putrajaya hari ini apabila ditanya mengenai gesaan daripada DAP supaya beliau meminta maaf.

DAP Perak pada minggu lalu menuntut Ahmad Faizal meminta maaf kepada Majlis Presiden PH berhubung kenyataannya dalam klip video yang tersebar luas itu yang mana beliau dilihat memberitahu penduduk mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," kata Ahmad Faizal kepada sekumpulan orang dalam satu pertemuan tidak rasmi ketika berkempen di Tanjung Piai.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (gambar, bawah) pada 8 November lalu pula menyifatkan Ahmad Faizal sebagai 'munafik' dan mendakwa beliau tidak layak menjadi menteri besar.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad pada hari ini turut mengulang pendiriannya bahawa kenyataan beliau telah diambil di luar konteks dan beliau telah menjelaskan perkara itu kepada pemimpin tertinggi Bersatu.

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Bersatu, Mahathir mempertahankan Ahmad Faizal dan berkata menteri besar itu terpaksa menjelaskan situasi sebenar di Perak kepada sekumpulan nelayan.

"Dia berhadapan dengan nelayan yang begitu agresif. Jadi mereka (nelayan) menganggap PH dikuasai oleh DAP, jadi dia terangkan walaupun dia seorang sahaja dan yang lain banyak DAP di Perak tetapi dia masih jadi MB dan masih menguasai kerajaan.

"Dia perlu jelas itu kerana orang ini sangat ekstrem pandangan dia," kata Dr Mahathir.

Pengerusi PH juga menegaskan tiada keperluan buat Ahmad Faizal memohon maaf.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS