Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nooryana Najwa Najib mengutuk taksiran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam agensi kerajaan itu terhadapnya - bernilai RM10.3 juta - sebagai tidak tepat dan bercanggah dengan undang-undang.

Anak perempuan pasangan Najib Razak dan Rosmah Mansor itu berkata demikian dalam kenyataan pembelaannya terhadap saman cukai LHDN yang dilihat Malaysiakini hari ini.

Kenyataan pembelaan Nooryana Najwa itu difailkan firma undang-undang Messrs Shafee & Co di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Oktober.

“Perenggan empat pernyataan tuntutan plaintif adalah dinafikan dengan sekeras-kerasnya. Defendan mengatakan bahawa taksiran tambahan bagi tahun-tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 untuk jumlah masing-masing sebanyak RM2,430,694.74; RM26,613.24; RM6,011,957.64; RM271,832.92; RM48,526.98; RM137,595.31; dan RM21,084.39, yang dibangkitkan terhadap defendan melalui Notis Taksiran Tambahan (Borang JA) bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017 bertarikh 15 Mac 2019, adalah suatu taksiran yang tidak tepat dan menyalahi undang-undang," kata Nooryana dalam kenyataan itu.

Untuk nota, angka-angka yang dinyatakan di atas bagi cukai taksiran tahun 2011 hingga 2017 tidak termasuk penalti yang dikenakan oleh LHDN terhadap Nooryana Najwa kerana tidak melunaskan bayaran yang ditetapkan.

Nooryana Najwa berkata, selepas menerima Borang JA pada 18 Mac lalu, dia berasa tidak berpuas hati dengan taksiran tambahan tersebut dan mengemukakan notis rayuannya melalui Borang Q dan alasan rayuannya kepada LHDN pada 12 April.

Nooryana Najwa dengan tegas menafikan jumlah RM10,335,292.36 (termasuk penalti) itu yang diminta oleh kerajaan terhadapnya serta peningkatan kadar bunga yang dikenakan terhadapnya.

Tiada kekurangan dilaporkan

“Perenggan 6 hingga perenggan 9 pernyataan tuntutan plaintif adalah dinafikan dengan sekeras-kerasnya dan juga jumlah RM10,335,292.36 yang telah dituntut oleh plaintif dan kenaikan-kenaikan faedah yang telah dikenakan ke atas defendan.

“Defendan juga menafikan bahawa jumlah yang dituntut oleh pihak plaintif adalah ditaksirkan dengan betul oleh plaintif dan kenaikan-kenaikan sebanyak 10 peratus dan 5 peratus yang dikenakan terhadap defendan adalah kenaikan yang tidak munasabah," katanya.

Antara contoh yang dikemukakannya mengenai tuduhan cukai tidak tepat itu ialah untuk tahun taksiran 2011, apabila dia mendakwa terdapat kesilapan fakta sebagai wang masuk wang sebanyak AS$2 juta (RM6,380,000) dari luar negara ke akaun semasa CIMB yang didakwa milik bersama suaminya.

Nooryana Najwa mendakwa akaun itu adalah milik suaminya.

Kata Nooryana Najwa, dana itu berasal dari luar negara dan oleh itu, tidak boleh ditafsirkan sebagai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dia mendakwa cukai taksiran 2011 tidak tepat kerana perbelanjaan peribadinya sepanjang tahun itu adalah kira-kira RM48,000 dan bukan RM120,000, iaitu angka yang diperolehi LHDN.

Nooryana Najwa mendakwa taksiran cukai untuk tahun 2011 tidak tepat kerana perbelanjaan lain atau perbelanjaan yang tidak dapat dijelaskan sebanyak RM4,124,732 merupakan transaksi pengeluaran dari akaun semasa banknya dan ia jumlah bukan pendapatan yang ditakrifkan oleh plaintif.

Defendan juga mendakwa pengeluaran notis taksiran tambahan untuk 2011 terhadapnya telah dibuat melebihi tempoh pembatasan undang-undang seperti yang dibentangkan di bawah Seksyen 91 (1) Akta Cukai Pendapatan.


Baca Lepas tahu Rosmah ditangkap Nooryana berwuduk, bertahajud


"Mengambil kira pelarasan di atas, defendan mengatakan tidak ada kekurangan pendapatan yang dilaporkan.

"Pendapatan pelaburan adalah hanya RM13,417 dengan anggaran liabiliti cukai menjadi kosong.

"Defendan mengatakan bahawa liabiliti cukai tambahan sebanyak RM2,430,694.74 seperti yang dituntut oleh plaintif sepatutnya menjadi kosong.

"Namun demikian, cukai tambahan yang dikenakan adalah dihalang oleh had masa batasan di bawah Seksyen 90 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967," dakwanya berhubung cukai yang ditaksir untuk tahun 2011.

Pada 26 Ogos lalu LHDN dilapor menuntut cukai pendapatan tidak dibayar sebanyak RM10.3 juta daripada Nooryana Najwa.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, dengan menamakan Nooryana Najwa sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, kerajaan Malaysia mendakwa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang-Borang Nyata Orang Perseorangan di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun-tahun taksiran 2011 hingga 2017 kepada LHDN.

Selain Nooryana NAjwa, LHDN juga memfailkan saman cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion, RM37.6 juta dan RM13.1 juta terhadap bapanya serta abangnya, Mohd Nazifuddin dan Mohamad Nizar.

Lihat Komen
ADS