Jelas sayu dengan apa yang berlaku ke atas ibunya, anak Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa hatinya dalam satu hantaran di Instagram peribadi miliknya, @yananajib petang ini.
Melalui hantaran yang jelas beremosi itu Nooryana Najwa menyifatkan penahanan ibunya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai sesuatu yang melampaui batas.
"Saya boleh terima jika tindakan diambil ke atas insan yang pernah memegang tampuk pemerintahan, tetapi turut melibatkan isteri kesayangannya adalah tindakan yang melampaui batas.
"Dua minggu lalu, anda menyerbu rumah ibunya dan hari ini anda mereman isterinya dan bercadang mendakwanya pada hari yang sama suaminya dijadual hadir ke mahkamah.
"Saya rasa esok esok akan menjadi satu persembahan 'sarkis media' yang hebat," katanya.
Menurut Nooryana Najwa lagi dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai penangkapan Rosmah pada awal pagi.
Untuk rekod dia sedang melanjutkan pengajian di Universiti Harvard di Boston, AS.
"Saya menerima panggilan telefon yang kejam itu pada 4 pagi.
"Telalu sedih untuk menangis, terlalu marah untuk menjerit. Saya hanya mampu bangun, mengambil wuduk dan menunaikan solat tahajud untuk Mummy," katanya.
Nooryana Najwa juga menyatakan dia yakin ibunya akan tetap tenang dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Malah katanya dia percaya Rosmahlah yang akan bimbang terhadap orang lain yang ada di rumahnya.
"Pasti dia tertanya-tanya sendiri: Bagaimana Gina menerima berita ini? Saya harap dia akan ke kelas hari ini. Adakah Adam akan OK?" tulisnya lagi.
Gina adalah nama panggilan Rosmah buat Nooryana Najwa, manakala Adam ialah cucunya hasil pernikahan Nooryana Najwa dengan Daniyar Nazarbayev.
Nooryana Najwa kemudian melanjutkan catatatnya:
"Mummy, walaupun Mummy tak dapat mendengar luahan hati saya, saya harap Mummy tahu yang saya OK.
"Saya akan bangun dari katil dan pergi ke kelas, dan Adam akan tetap sabar menantikan Mummy di Facetime.
"Rehatlah malam ini, dan cubalah menjamah makanan untuk mengalas perut.
"Tidak kira betapa sukarnya keadaan ini, saya akan terus teguh berdiri bersama wanita yang melahirkan saya, memujuk saya ketika saya menangis, tidur dengan saya ketika saya sakit dan mengajar saya untuk berdiri di atas kaki sendiri.
"Seperti kata-kata mummy pagi ini, insya-Allah, kami akan dapat bertahan."
Datin Seri Rosmah Mansor ditahan SPRM pada kira-kira jam 3.20 petang tadi.
Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa esok berkaitan skandal 1MDB.