Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR terkejut ahli politik macam tak faham peraturan pilihan raya
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 10:07 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

PRK TG PIAI | Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini terkejut dengan kata-kata ahli politik veteran yang mengecam peraturan baru dikenakan sewaktu PRK Tanjung Piai ini.

Dipercayai merujuk kepada komen pemimpin kanan Umno hari ini, Azhar berkata peraturan yang dikuatkuasakan SPR itu sebenarnya berada di bawah bidang kuasa polis.

“Saya terkejut yang ahli politik veteran - bahkan bagi mereka yang memegang ijazah dalam perundangan - seperti tidak faham (syarat dan peraturan), apatah lagi menghargai rangka kerja asas undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar yang memiliki latar belakang guaman berkata dakwaan pemimpin terbabit adalah tidak wajar.

“Ia dakwaan paling teruk dan tidak berasas, bersifat politik dan kemungkinan dipengaruhi oleh niat jahat," katanya.

Menurut beliau tugas memastikan semua peraturan dan undang-undang dipatuhi ialah polis, bukannya SPR.

Keperluan untuk mendapatkan permit polis untuk semua ceramah dinyatakan dalam undang-undang.

"Bukan bidang kuasa SPR untuk mengeluarkan permit atau untuk mengenakan keperluan permit. Ia adalah bidang kuasa polis," katanya.

Terdahulu dua naib presiden Umno mengkritik syarat mendapatkan permit ditetapkan SPR untuk calon dan parti bertanding di Tanjung Piai bagi semua kempen mereka, termasuk lawatan atau kunjungan dari rumah ke rumah.

Semak undang-undang dulu

Anggota Parlimen Bera merangkap Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, berkata syarat ditetapkan itu tidak munasabah

"Apa yang nak dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta. Jadi saya tidak faham kenapa perkara seperti ini timbul di Tanjung Piai.

"Adakah kerana PH nampak mereka berdepan jalan sukar untuk menang (hingga) akhirnya SPR membantu mereka untuk menyusahkan parti-parti pembangkang seperti BN?" katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, berkata peraturan yang dikuatkuasakan itu dianggapna sebagai terlampau ketat dan tak masuk akal.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan permit berkenaan bukanlah dikeluarkan oleh SPR, sebaliknya pihak polis.

“Hasil perbincangan tersebut, telah diputuskan bahawa Polis Diraja Malaysia meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azhar ahli politik terbabit wajar tidak bersangka buruk kepada SPR setiap kali melihat ada peraturan yang tidak selaras dengan pendirian mereka.

Sebaliknya kata beliau, adalah lebih baik jika mereka menyemak undang-undang sedia ada terlebih dahulu sebelum melemparkan pelbagai dakwaan terhadap SPR.

Lihat Komen
ADS